KP Kesihatan saran perbelanjaan kesihatan 6% daripada KDNK


Ragananthini Vethasalam

PERBELANJAAN sektor kesihatan awam dan swasta sepatutnya berada pada kadar 6% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan memberitahu The Malaysian Insight, perbelanjaan semasa bagi sektor kesihatan awam berada pada sekitar 2.2% daripada KDNK.

“Secara idealnya, kita patut peruntuk 4% untuk sektor awam dan 2% lagi bagi sektor swasta,” katanya, sambil menambah jumlah itu termasuk perbelanjaan untuk rawatan Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Bagi tahun ini, KKM menerima peruntukan lagi RM1 bilion, tambahan kepada RM30.6 bilion yang diterima di bawah Belanjawan 2020.

Ditanya jika kerajaan dapat menampung perbelanjaan rawatan Covid-19 susulan kenaikan kes kini mencecah 3 digit, Dr Noor Hisham berkata KKM masih berkemampuan menanganinya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam jawapan bertulis Parlimen pada 1 Ogos berkata anggaran kos untuk merawat pesakit Covid-19 yang kritikal selama 21 hari di hospital adalah RM18,270.

Purata kos rawatan untuk pesakit Covid-19 Tahap Empat dan Tahap Lima adalah RM870 sehari, jelasnya.

Setakat 10 Julai, KKM membelanjakan RM650 juta untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan, kit, ubat-ubatan dan peralatan pelindung diri. – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen