PERIKATAN Nasional (PN) perlu menyatakan pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan Yang di- Pertuan Agong menolak cadangan pengisytiharan darurat, kata pemimpin Umno.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berbuat demikian susulan beberapa pemimpinnya mendakwa kerajaan tidak berpuas hati dengan keputusan Agong.
“Kita menggesa perdana menteri keluarkan satu kenyataan segera sama ada mereka berpegang teguh dengan cadangan darurat atau menolaknya selepas rakyat membantah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu pada Ahad menolak pengisytiharan darurat bagi menangani wabak Covid-19, yang dicadangkan oleh kerajaan.
Al-Sultan bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini.
Senator Rais Yatim dari Bersatu baru-baru menulis di Twitter bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Malah Yang Dipertua Dewan Negara itu juga menyarankan Muhyiddin sekali lagi mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat.
Razlan berkata kenyataan Rais itu boleh dianggap mewakili kerajaan, yang mana Umno juga sebahagian daripadanya PN.
Ini kerana kepimpinan Umno jelas menolak cadangan pengisytiharan darurat, tambahnya.
“Apabila Rais buat kenyataan sedemikian, ia mewakili kerajaan kerana beliau dilantik oleh Muhyiddin,” jelas Razlan.
Menurutnya lagi, Umno tidak menyokong rancangan kerajaan untuk melaksanakan darurat.
“Kalau mereka betul-betul serius, kami menggesa pihak-pihak yang berkenaan bercakap dengan kami dulu sebelum buat keputusan.”
Beliau menegaskan Umno kaur kepada titah Agong dalam perkara ini.
“Kami akur kepada Agong. Parti kami sebulat suara akur kepada titah Agong, tetapi kalau ada yang tidak setuju, kami akan bertindak,” katanya, tanpa menjelaskan apakah bentuk tindakan yang akan diambil.
Seorang peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar, hari ini memfailkan saman, meminta campur tangan mahkamah untuk menentukan sama ada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytihar darurat. – 30 Oktober, 2020.
Komen