3 sekolah agama di Johor Bahru ditutup


Tiga sekolah agama di Johor Bahru ditutup mulai semalam dan hari ini susulan terdapat kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di kawasan berdekatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

TIGA sekolah agama di Johor Bahru ditutup mulai semalam dan hari ini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan terdapat kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di kawasan berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata Sekolah Agama Taman Universiti 1 ditutup semalam hingga 4 November manakala Sekolah Agama Bandar dan Sekolah Agama FRU ditutup mulai hari ini hingga 7 November.

“Penutupan Sekolah Agama Bandar melibatkan 17 orang guru, lima kakitangan sokongan dan 1,387 murid darjah satu hingga enam serta darjah khas.

“Manakala penutupan Sekolah Agama FRU di Kuarters Polis Depoh melibatkan empat guru dan 189 murid darjah satu hingga enam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi Sekolah Agama Taman Universiti 1 pula Tosrin berkata ia membabitkan 1,176 murid darjah satu hingga enam serta darjah khas, 21 guru dan empat kakitangan.

Menurutnya, ketiga-tiga sekolah agama itu ditutup susulan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan murid dari sekolah kebangsaan berdekatan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan hari ini berkata Daerah Johor Bahru dilaporkan sebagai kawasan zon merah sejak semalam. – Bernama, 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen