PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kerajaan akan menumpukan usaha memerangi habis-habisan pandemik Covid-19 dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan.
Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, pihaknya akan mengambil langkah tambahan sewajarnya dalam belanjawan tahunan itu bagi memulihkan kembali kehidupan rakyat.
“Kita kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang prihatin akan mengambil langkah-langkah tambahan (yang sewajarnya). Sebelum ini sebanyak RM305 bilion (telah digunakan) dan Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan dalam usaha mengawal pandemik Covid-19 supaya ia tidak menular.
“(Setakat ini) hampir RM2 bilion kita belanjakan untuk Kementerian Kesihatan manakala untuk Sabah sahaja, dengan Covid-19 yang begitu hebat, kira-kira RM400 juta dibelanjakan dalam tempoh beberapa minggu lepas, melibatkan bantuan makanan yang dihantar ke rumah dan peralatan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-24 Koperasi Sungai Terap dan Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir di Muar, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Nordin Salleh, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay, Adun Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal dan Adun Bukit Pasir Kapten (B) Najib Lep.
Beliau berkata kerajaan komited untuk memerangi Covid-19 dalam belanjawan akan datang dan pada masa sama akan terus membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik berkenaan.
“Kerajaan perlu menyediakan pakej rangsangan iaitu bantuan kepada rakyat kerana ada kumpulan yang terjejas teruk. Jika dulu (ketika Perintah Kawalan Pergerakan) diperkenalkan ada yang mohon untuk keluarkan simpanan di akaun kedua Kumpulan Wang Simapanan Pekerja (KWSP), sekarang ada pula yang mohon untuk keluarkan simpanan di akaun pertama.
“Simpanan itu untuk masa tua kita. Kalau kita (kerajaan) benarkan perkara itu dilakukan saudara-saudari akan berdepan masalah lain pula.
“...kerajaan telah menyediakan berbilion-bilion ringgit. Yang akan datang ..jangan tanya, saya akan keluar berbilion-bilion lagi untuk tolong rakyat.” Katanya. – Bernama, 30 Oktober, 2020.
Komen