PERANCIS dan Jerman memutuskan semalam, akan menutup sektor ekonomi mereka sebagai sebahagian daripada usaha mengekang kebangkitan semua virus di seluruh dunia.
Ia menyaksikan ratusan ribu jangkitan baharu dengan menjadikan jumlah keseluruhan global sebanyak 44.5 juta dengan hampir 1.2 juta kematian, ketika penyakit ini terus merebak di seluruh dunia.
India, salah satu negara paling teruk terjejas dunia, melepasi 8 juta kes dengan kebimbangan keadaan bertambah buruk menjelang sambutan Deepavali.
Selepas musim panas, Perancis dan Jerman kini mengambil langkah lebih keras dengan menyekat kehidupan sosial bagi berdepan jangkitan yang bertambah di seluruh negara.
Mulai hari ini, Perancis, yang jumlah kematiannya semalam melepasi 36,000 selepas 250 kematian sejak Rabu, akan melarang orang ramai keluar rumah tanpa kebenaran, seperti yang pernah dilaksanakan pada awal musim bunga.
Bar dan restoran juga akan ditutup sehingga sekurang-kurangnya Disember dan perjalanan antara wilayah akan dihadkan, kata Presiden Emmanuel Macron ketika berucap melalui siaran televisyen pada Rabu.
“Seperti di tempat lain di Eropah, kita berdepan gelombang kedua yang mungkin akan lebih sukar dan berbahaya berbanding yang pertama,” kata Macron, walaupun beliau meyakinkan langkah pengurungan kali ini tidak begitu ketat.
Kilang dan tapak pembinaan akan tetap terbuka, seperti juga tadika dan sekolah - kanak-kanak berumur enam tahun akan diminta memakai pelitup muka.
Di Jerman, Canselor Angela Merkel mengarahkan langkah pengurungan lebih ringan sejak Isnin, 2 November hingga akhir bulan.
Rakyat Jerman tidak akan terkurung di dalam rumah tetapi bar, kafe dan restoran mesti ditutup, begitu juga teater, opera dan pawagam.
Di Sepanyol, Parlimen semalam meluluskan lanjutan selama enam bulan keadaan darurat yang diisytiharkan oleh pemerintah kiri Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Ahad selama dua minggu.
Ini bererti 17 pemerintah daerah Sepanyol boleh melaksanakan langkah untuk menyekat pergerakan penduduk, seperti perintah berkurung waktu malam dan menutup sempadan.
Bandar pelabuhan Greek, Thessaloniki semalam diisytiharkan sebagai “zon merah” yang menyaksikan penutupan banyak aktiviti.
Pihak berkuasa di Sweden kini mengesyorkan penduduk bandar Stockholm dan juga dua wilayah selatan mengehadkan kontak dengan orang lain dan mengelakkan ruang tertutup ketika negara tersebut mencatat rekod rasmi sebanyak 3,254 kes baharu dalam sehari.
Walaupun terdapat banyak kes dan kematian, UK berikrar terus mengenakan larangan setempat dan bukannya penutupan di seluruh negara.
Setiausaha Komuniti Robert Jenrick mengakui statistik menunjukkan Britain berada pada kedudukan buruk dengan hampir 25,000 kes baru didaftarkan pada Rabu.
Tetapi beliau berkata para menteri masih percaya tindakan bersasar adalah “cara terbaik untuk terus ke depan” berdasar kadar jangkitan yang berbeza-beza. – AFP, 30 Oktober, 2020.
Komen