PENDUDUK Kampung Simunal di Semporna, Sabah mendakwa mereka terpaksa curi-curi keluar di tengah malam menangkap ikan kerana terputus bekalan makanan sejak kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) bermula 11 Oktober lepas.
Perintah yang sepatutnya berakhir pada 24 Oktober dilanjutkan sehingga 6 November.
Penduduk mendakwa mereka tidak mendapat bantuan makanan biarpun pihak kerajaan sepatutnya menyalurkan catuan makanan kepada mereka.
Sebuah badan masyarakat yang berkhidmat di kawasan itu pula memberitahu nasib yang dialami penduduk terjejas agak membimbangkan.
Maria Pee, 35, seorang suri rumah yang tinggal di kampung itu berkata tidak ada sebarang bantuan diterima sejak hari pertama PKPD biarpun biarpun kerajaan sepatutnya menyalurkan catuan makanan kepada mereka.
Beliau mendakwa mereka menerima bantuan makanan pertama pada 13 Oktober, dua hari selepas PKPD dikuatkuasakan di Semporna dan Kunak. Sehari sebelumnya seluruh Sabah juga diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Bantuan kedua mereka terima daripada badan masyarakat kira-kira seminggu kemudian, tambahnya.
“Dalam tempoh itu dua kali saja. Bantuan diberikan termasuk beras 20kg untuk satu keluarga. Bagaimanapun semua bantuan yang diberikan sudah habis termasuk beras.
“Sekarang ini suami saya dan penduduk kampung lain terpaksa curi-curi keluar untuk tangkap ikan, kalau tidak kami tidak ada apa untuk makan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengakui tindakan itu agak bahaya termasuk ada risiko ditangkap namun Maria berkata mereka tidak ada pilihan lain.
“Nak buat macam mana… sebab itu biasanya suami saya akan selalu pergi secara kumpulan, tidak akan pergi sendiri.
“Dia pergi pun dekat-dekat saja dan pada waktu air laut sedang surut.
“Tapi kalau kita tak dapat ikan, jadi makanan kami hanya nasi saja,” katanya.
Sementara itu Abdul Rahim Mohd Said, 41, yang tinggal di Kampung Pinggir Bakau di Semporna berkata penduduk di kampungnya bergantung penuh pada bantuan makanan.
Rahim berkata biarpun kampungnya hanya dikenakan PKPB namun mereka tetap berdepan kesukaran kerana tidak boleh keluar bekerja dan hilang sumber pendapatan.
“Kami di sini memang amat mengharapkan bantuan. Kalau boleh itulah kami minta tolong harap diberikan sebab bila kami tidak dapat bekerja memang tidak ada duit untuk beli makanan,” katanya.
Bapa kepada sembilan orang anak itu berkata mereka juga telah kehabisan bekalan makanan yang diberikan kerajaan semasa Oktober dan kini selain daripada mengharapkan sumbangan persendirian, dia terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri.
“Adalah dapat bantuan masa Oktober dalam 20kg beras satu keluarga tapi sekarang ini dah habislah.
“Anak ramai, 20kg itu cepat saja habis, lagipun semua ada di rumah.
“Sebab itu kita mengharapkan kerajaan atau pihak yang lain sudi bagi bantuan kepada kami… kalau tidak agak sukar di sini,” katanya.
Katanya lagi mereka juga agak sukar untuk dapatkan makanan basah yang lain seperti ayam dan ikan.
“Ayam dan ikan memang susahlah nak dapat, biasanya kami akan makan sardin, telur atau sayur. Itu sajalah makanan kami,” katanya.
Setakat semalam, Sabah mencatatkan 45% daripada keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia iaitu sebanyak 13,701 kes, yang meningkat mendadak selepas pilihan raya kecil negeri pada hujung September.
Pada minggu kedua Oktober, kerajaan mengumumkan PKPB di seluruh Sabah dan sehari sebelumnya PKPD di enam lokaliti di Semporna dan satu di Kunak.

Sukarelawan penggerak bantuan di Sabah
Dengan peningkatan kes yang direkodkan di Sabah, badan masyarakat kini antara watak penting yang menggerakkan bantuan kepada penduduk terutama di kawasan terpencil serta mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Salah satunya ialah Borneo Komrad yang bergerak aktif menghulurkan bantuan bukan saja makanan tetapi juga ubatan-ubatan, susu formula dan tuala wanita.
Aktivis Mukmin Nantang berkata sekurang-kurangnya 15,000 hingga 20,000 pek sumbangan sudah diagihkan pada setiap minggu kepada penduduk.
Setiap pek sumbangan boleh bertahan untuk dua minggu, katanya.
Borneo Komrad yang juga membuka sekolah alternatif kepada penduduk mempunyai 50 sukarelawan yang beroperasi di enam daerah iaitu di Semporna, Tawau, Kunak, Sandakan, Kinabatangan dan Kota Kinabalu.
Semporna adalah kawasan yang paling kritikal di Sabah ketika ini, katanya, yang juga seorang guru.
Menurut Mukmin pada masa ini bantuan kerajaan tidak menyeluruh dan ada yang ketinggalan. Puncannya, nama mereka tiada dalam senarai bancian Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Masalahnya mereka cuma dapat bantuan sekali saja lepas itu tak tahu sampai bila lagi ada. Banyak tempat penduduk tercicir untuk dapatkan bantuan
“Macam Kampung Air yang kawasannya agak kompleks sebab rumah mereka tidak teratur. Rumah kecil kemudian disewa, ada rumah dalam rumah, rumah sewa tepi rumah, ada rumah di belakang rumah.
“Selain itu di kawasan lain yang bukan zon merah, mereka pun terkesan tapi ada yang dapat bantuan ada yang tidak, jadi ia tidak selaras,” katanya.
Mukmin berkata penduduk di Semporna yang ratanya-ratanya bekerja sebagai nelayan, buruh kasar, buruh binaan kini meneruskan hidup dengan bantuan daripada badan sukarela atau jiran.
Penduduk yang tinggal di kawasan dalam PKPD juga terpaksa menggunakan “jalan-jalan tikus” untuk keluar mencari bantuan selepas terputus bekalan makanan.
“Jalan- jalan tikus ini biasanya bila air surut mereka akan jalan kaki keluar untuk dapatkan bekalan makanan sama ada pergi kepada NGO atau mereka menangkap ikan,” katanya.
Mukmin bimbang jika keadaan ini akan berterusan dan penduduk tidak akan dapat bertahan.
“Mahu tak tahu mereka terpaksa guna jalan tikus. Mereka terpaksa langgar arahan untuk dapatkan makanan,” katanya.
Menurut Mukmin, perkara yang jadi masalah besar bagi sukarelawan seperti Borneo Komrad ialah birokrasi kerajaan yang terlalu banyak menghalang.
Namun beliau berharap pihak kerajaan, pegawai daerah atau agensi akan terbuka hati untuk duduk semeja berbincang bantuan kepada rakyat lancar. – 30 Oktober, 2020.
Komen