MT Umno mesyuarat kali kedua dalam empat hari


Mohd Farhan Darwis

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman tiba di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn di PWTC, Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Oktober, 2020.

MAJLIS Tertinggi Umno bermesyuarat buat kali kedua minggu ini, selepas pertemuan pada awal minggu lalu, dipercayai memutuskan calon timbalan perdana menteri.

Antara yang kelihatan hadir mesyuarat yang bermula pukul 9 malam tadi ialah Shamsul Anuar Nasarah, Zahidi Zainul Abidin, Shahidan Kassim, dan Tajuddin Abdul Rahman.

Anggota terbaharu MT Umno yang baru dilantik Rizam Ismail turut kelihatan hadir bersama beberapa anggota MT yang lain.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bagaimanapun tidak hadir mesyuarat malam ini kerana difahamkan sedang menjalani kuarantin kendiri.

Calon timbalan perdana menteri dari Umno disebut-sebut antara syarat kerjasama politik parti itu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata beberapa sumber parti.

Ini kali kedua MT Umno bermesyuarat minggu ini, tiga hari selepas mesyuarat pertama minggu ini yang memutuskan untuk menyokong nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengendurkan ketegangan politik dan mengumumkan dukungannya kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Sejak beberapa hari lalu timbul desas-desus Muhyiddin akan merombak Jemaah Menterinya yang dibentuk pada Mac lalu serta menamakan seorang pemimpin kanan Umno sebagai timbalan perdana menteri.

Antara nama-nama yang disebut ialah Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan bekas Naib Presiden Hishammuddin Hussein.

Mohamad bukan ahli Parlimen, sementara Ismail Sabri kini Menteri Pertahanan merangkap menteri kanan keselamatan, manakala Hishammuddin sekarang Menteri Luar Negeri.

Hishammuddin bagaimanapun dalam satu kenyataan petang ini berkata beliau tidak pernah berusaha untuk dilantik ke jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, malah itu juga bukan keutamaannya sekarang.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus Kerajaan dan Umno sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19, bukan soal jawatan,” katanya.

Hishammuddin berkata pendiriannya itu selari dengan keputusan mesyuarat MT Umno pada Isnin yang menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik sebaliknya bersama-sama fokus melawan Covid-19. – 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen