Perdamaian politik rumit, mustahil, kata pakar akademik


Chan Kok Leong

Kesemua parti politik digesa untuk mengenepikan perbezaa politik bagi menangani krisis Covi-19, titah Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

PERDAMAIAN politik di Malaysia akan menjadi rumit jika melihat kepada tahap kepartiannya, kata seorang pakar akademik.

“Ia sangat antagonis bahawa parti politik kadang-kala dilihat membangkang perkara yang ditentang.

“Oleh itu, perdamaian sebenar sukar dicapai.  Satu-satunya kelonggaran yang akan diberikan oleh mana-mana pihak adalah membantu melepasi Belanjawan 2021 ketika negara berjuang untuk mengekang wabak Covid-19,” kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei.

Lau mengulas usul Umno untuk perdamaian politik yang turut melibatkan pembangkang.

Pada masa yang sama, Majlis Tertinggi Umno berkata pihaknya akan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

DrLau berkata perdamaian secara menyeluruh sehingga wujudnya kerajaan perpaduan amat sukar dicapai walaupun mungkin ada beberapa bentuk kerjasama yang boleh dipersetujui.

“Saya boleh melihat Umno dan DAP menyokong usul menentang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada usul tidak percaya. Tetapi ini tidak mungkin menjadi kerjasama jika kedua-dua parti ini dalam kerajaan yang sama.

“Walaupun jika kedua-dua parti bertindak secara bebas, DAP perlu menjawab kepada ahlinya kerana ‘bekerja’ dengan Umno dan begitu juga dengan Umno,” katanya.

Lau berkata senario terbaik untuk mereka adalah menyokong Belanjawan 2021 berdasarkan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Pada Rabu, Istana Negara mengeluarkan titah Agong yang menggesa semua ahli Parlimen untuk mengenepikan perbezaan politik bagi menyokong Belanjawan 2021.

Muhyiddin ketika ini hanya mempunyai 113 sokongan ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Dr Firdausi Suffian dari Universiti Teknologi Mara (Sabah) berkata Umno dan Bersatu perlu menolak perselisihan mereka bagi memastikan Belanjawan 2021 lulus di Parlimen.

“Walaupun Agong menolak darurat, Baginda secara jelas bertitah meminta semua parti politik bekerjasama bagi menangani krisis Covid-19.

“Selepas titah Agong, Umno dan Bersatu perlu memulakan proses damai.

“Perkara terakhir yang rakyat mahukan ketika ini adalah pertukaran kerajaan atau perdana menteri atau pilihan raya.

“Jadi ‘perjanjian baharu’ perlu menumpukan penyelesaian krisis, bajet menyeluruh untuk pulih daripada krisis dan pelan keluar pasca-Covid.

“Kerajaan Perikatan Nasional perlu membentuk satu jawatankuasa daripada pelbagai parti politik termasuk pembangkang untuk memantau isu ekonomi dan kesihatan negara,” kata Firdausi. – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen