SELEPAS 21 hari, Malaysia akhirnya tidak mencatatkan kes kematian baharu Covid-19 hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam satu kenyataan, ketua pengarah kesihatan itu berkata kali terakhir negara ini merekodkan sifar kematian adalah pada 7 Oktober.
Beliau berkata berdasarkan perkembangan hari ini, Malaysia mencatatkan lebih banyak kes pulih berbanding kes baharu.
Beliau berkata sebanyak 685 kes pulih direkodkan berbanding 649 kes baharu.
Sabah merupakan negeri paling banyak merekodkan kes pulih dan kes baharu.
Negeri itu mencatatkan 458 kes pulih dan 352 kes baharu atau 54.2% daripada keseluruhan kes hari ini.
Jumlah keseluruhan kes di Sabah kini mencecah 14,032 daripada keseluruhan kes di seluruh negara iaitu 30,090.
Di Lembah Klang, sebanyak 159 kes baharu dicatatkan dari tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
“Kesemua empat negeri menyumbang 511 kes atau 78.7% daripada kes baharu hari ini dan kesemuanya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumlah kes aktif bagaimanapun masih tinggi dengan catatan 10,087 kes dengan 106 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 23 kes memerlukan alat bantuan pernafasan. – 29 Oktober, 2020.

Komen