Sarawak belum pertimbang sekatan rentas daerah, kata Uggah


Desmond Davidson

Sarawak masih belum pertimbang sekatan semula rentas daerah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

PELAKSANAAN semula sekatan rentas daerah terutama keluar dan masuk Kuching untuk mengekang penularan Covid-19 belum dipertimbangkan lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Douglas Uggah, hari ini.

81 daripada 89 kes aktif Sarawak dikesan di Kuching dan empat daripada lima kluster juga berada di daerah itu.

Kluster Greenhill, Bah Arnab, Baki dan Seladah terletak di Kuching, manakala Kluster Putra di Bintulu.

Uggah yang juga timbalan ketua menteri berkata, perjalanan keluar dan masuk Kuching adalah “sangat tidak digalakkan” sekiranya tiada keperluan mendesak.

“Duduk sahaja di rumah untuk selamat,” katanya kepada wartawan selepas melawat bilik pemantauan kepatuhan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di Kampung Haji Baki, pagi tadi.

PKPD kampung itu yang terletak hanya 10km dari Kuching mula berkuatkuasa semalam.

Ia adalah kawasan pertama di Sarawak dikenakan PKPD.

Seramai 4,196 orang daripada 627 rumah kini dikurung di rumah masing-masing sehingga 10 November ini.

Sarawak mengenakan sekatan perjalanan pada hujung Mac dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) apabila ia melaporkan lebih 30 kes Covid.

Ia dibatalkan pada 10 Jun apabila Sarawak menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menyentuh mengenai PKPD di Kampung Haji Baki, Uggah berkata ia perlu dilakukan kerana peningkatan kes di kawasan itu membimbangkan.

Dua kluster di Kuching- Bah Arnab dan Baki-berasal dari perkampungan itu.

Katanya, jawatankuasa negeri sudah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk perbincangan dengan Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum membuat keputusan mengenakan PKPD hanya di kampung itu dan bukannya seluruh daerah.

“Kita ada kes di kawasan lain di Kuching seperti kawasan Green Hill dengan jumlah kes positif naik kepada 20 semalam.

“Itu pun membimbangkan kami. Mereka yang dalam Kluster Green Hill tinggal di banyak kawasan dalam bandar.

“Tetapi, nasib baik ramai yang tampil buat saringan sendiri sama ada di hospital swasta atau klinik kerajaan,” kata Uggah. – 29 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen