PERDANA menteri mempunyai hak prerogatif untuk melantik timbalan atau mengekalkan sistem empat menteri kanan, kata Annuar Musa, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika khabar angin bertiup kencang bahawa tiga pemimpin kanan Umno sedang dipertimbangkan sebagai timbalan perdana menteri.
Tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon mengisi jawatan timbalan perdana menteri ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.
“Bertenang dan kurangkan politiking. Jawatan timbalan perdana menteri adalah prerogatif orang yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
“Berikan PM ruang (untuk memutuskan) tanpa sebarang tekanan,” kata setiausaha agung Barisan Nasional itu lagi.
Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata memandangkan timbalan perdana menteri akan menjadi pegawai paling kanan perdana menteri, penting untuk memastikan calon dilantik adalah seseorang yang boleh bekerja dengan perdana menteri.
“Saya harap semua pihak bertenang dalam isu ini. Jika PM rasa tidak ada keperluan untuk timbalan perdana menteri dan dia mahu kekalkan sistem empat menteri kanan, ia okay, atau jika dia ubah fikiran dan mahukan timbalan, terpulang kepadanya,” kata Annuar lagi.
“Tak salah jika mahu beri pendapat atau cadangan tetapi tak perlu wujudkan situasi yang menyebabkan PM tertekan.”
Akhbar The New Straits Times hari ini melaporkan kenyataan sumber dalam Perikatan Nasional yang mendedahkan calon pilihan untuk jawatan perdana menteri ialah Hishammuddin tetapi Mohamad juga berada dalam senarai.
Bagaimanapun, Mohammad bukan ahli Dewan Rakyat dan hanya boleh masuk Kabinet jika dilantik sebagai senator Dewan Negara.
Satu lagi nama yang disebut-sebut untuk jawatan itu ialah Menteri Kanan (Kerja Raya) Fadillah Yusof daripada GPS.
Pada Mac lepas, Muhyiddin melantik empat menteri kanan untuk empat portfolio utama dan tidak melantik timbalan perdana menteri dalam Kabinetnya.
Empat menteri kanan itu ialah Ismail (Umno), Fadillah (GPS), dan dua lagi daripada Bersatu, Mohamed Azmin dan Mohd Radzi Jidin. – 29 Oktober, 2020.
Komen