Waktu operasi premis makanan di Kuching dipendekkan


Desmond Davidson

Sarawak memendekkan waktu operasi perniagaan dan mengarahkan semua gimnasium ditutup serta merta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

SARAWAK mengambil langkah untuk mengurangkan pergerakan penduduk khususnya di Kuching, dengan memendekkan waktu operasi perniagaan dan mengarahkan semua gimnasium ditutup serta merta.

Langkah itu susulan angka kes baharu Covid-19 mencecah dua digit dan kluster baharu turut dikenal pasti.

Daripada 27 kes dilaporkan hari ini, 20 dikesan di daerah Kuching – 15 adalah daripada kluster baharu yang diwrtakan oleh Jabatan Kesihatan sebagai kluster Greenhill.

Empat kes dikesan di daerah Miri, Sibu (2) dan Bintulu (1).

Greenhill merupakan antara kawasan tertua d daerah itu yang mempunyai banyak restran dan pub.

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah pada sidang medianya hari ini berkata, 45 orang diarahkan menjalani ujian saringan selepas mereka dilaporkan mempunyai kontak dengan kes indeks, iaitu “pesakit 798” yang disahkan positif pada Isnin lalu.

Daripada 45, tiga disahkan positif pada hari berikutnya dan 15 disahkan hari ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada kluster ini 19 termasuk kes indeks, kata Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Uggah bagaimana pun tidak menyatakan bagaimana mereka menjadi kontak antara satu sama lain namun mengatakan semua mereka mempunyai sejarah menghadiri beberapa perhimpunan di bandaraya Kuching.

Beliau berkata pengesanan kontak dalam kluster itu masih diteruskan.

Kluster Greenhill menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu kepada lima.

Kluster lain adalah kluster Bah Arnab, kluster Seladah di daerah Kuching dan kluster Putra di Bintulu.

Uggah berkata berikutan peningkatan kes, jawatankuasa pengurusan bencana mengambil keputusan untuk membenarkan semua premis makanan di daerah Kuching – kedai kopi, restoran, bistri dan lain-lain – beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam bermula esok sehingga notis lanjut.

Jawatankuasa itu turut menetapkan jumlah individu yang dibenarkan berada di perhimpunan sama ada awam atau sosial serta acara rasmi kerajaan kepada 200 orang.

Semalam, semua premis hiburan termasuk pub, bar disko, dewan tarian, pusat karoke di seluruh negeri itu diarahkan tutup serta merta. – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen