Perlu berpengetahuan untuk berdepan pihak berkuasa agama, kata sarjana Islam 


Gan Pei Ling

Barisan ahli panel pada forum yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur. Forum berkenaan membincangkan tentang kebebasan sebaga nilai dalam Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2017.

KUMPULAN Muslim di Malaysia tidak boleh terlibat dalam perdebatan yang tidak produktif berhubung label dengan pihak berkuasa agama tempatan, kata seorang ulama Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat hari ini.

“Nasihat saya kepada kamu adalah jangan terikat dengan debat sama ada kamu liberal atau tidak, sama ada mereka yang menuduh itu ekstremis atau fundamentalis. 

“Perdebatan itu tidak produktif dan tidak akan bawa kamu ke mana-mana. Saya cadangkan kamu cuba alihkan perbualan jauh dari label dan fokus kepada nilai. 

“Apakah nilai-nilai kita sebagai rakyat Malaysia yang patut dijadikan asas kepada penciptaan masyarakat adil? 

“Adakah kita percaya bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan awam? Adakah kita percaya sebagai rakyat Malaysia dalam kebebasan akhbar, kerajaan yang bertanggungjawab dan pilihan raya yang bebas dan adil?” kata pengarah Pusat Pengajian Timur Tengah Universiti Denver Dr Nader Hashemi di Hotel Concorde, Kuala Lumpur hari ini.

Sarjana kelahiran Kanada yang berketurunan Iran itu menjawab soalan daripada ahli G25, kumpulan yang ditubuhkan oleh bekas pegawai kanan kerajaan. 

Pada Selasa, ahli G25 Noor Farida Mohd Ariffin menggesa kumpulan Islam yang dilabel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai ancaman kepada Islam dan negara untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkuasa agama kerana memfitnah atau membuat laporan polis. 

Ahli panel dari Sister in Islam (SIS) Zainah Anwar berkata, serangan sedemikian daripada pihak berkuasa agama tidak dapat dielakkan dan satu-satunya cara untuk berdepan dengan mereka adalah menerusi pengetahuan. 

“Serangan ini tidak dapat dielakkan..Kamu memasuki kawasan yang pihak lain rasakan ia adalah kawasannya. Apakah hak atau kewajipan yang kamu perlu bercakap tentang Islam? Kamu tidak tahu bahasa Arab. Kamu tidak pernah belajar 20 tahun di Mesir atau Arab Saudi. 

“Jadi pengetahuan adalah amat penting. Hanya dengan pengetahuan akan membuatkan kamu berani mempertahankan pendirian kamu,” katanya yang juga pengasas SIS, yang mengheret pihak berkuasa agama Selangor ke mahkamah berikutan fatwa yang mengisytiharkan mereka sebagai sesat. 

Walaupun pihak berkuasa agama tempatan secara konsisten cuba mendiskreditkan kumpulan hak wanita Islam tempatan, Zainah berkata penerbitan SIS, idea-idea dan advokasi sedang dikaji dan dibincangkan di universiti di Indonesia.

Beliau menambah bahawa Malaysia pernah dianggap sebagai salah satu negara Islam yang progresif di era 1990-an tetapi kini negara-negara seperti Indonesia, Tunisia dan Maghribi kini berada jauh di dalam menggabungkan tafsiran moden Islam yang progresif ke dalam sistem pendidikan, dasar dan undang-undang awam, khususnya undang-undang keluarga.

Beliau berkata umat Islam tempatan perlu mencari sebab untuk harapan walaupun bangkitnya fundamentalisme keagamaan dan hakisan ruang demokratik.

“Amat penting untuk tunjukkan kepada pihak berkuasa agama tempatan bahawa mereka tidak ada monopoli ke atas Islam. 

“Dalam negara yang demokratik yang mana Islam digunakan sebagai sumber perundangan dan dasar awam, semua orang berhak untuk terlibat, berdebat bagaimana Islam dijadikan sumber perundangan (dan dasar awam),” katanya yang juga bekas wartawan.

Katanya Putrajaya perlu mengeluarkan Islam dalam undang-undang dan dasar awam sekiranya tidak mahu berdepan dengan interpretasi dan ketidaksepakatan. 

“Apabila kamu ingin menggunakan seluruh kuasa pemaksaan sebuah negara moden untuk mengenepikan pemahaman tunggal tentang Islam kepada semua orang, dan mereka yang tidak bersetuju akan dikenakan, dianiaya, dipersoalkan, mengeluarkan fatwa terhadap atau mengharamkan buku mereka, maka setiap orang mempunyai hak untuk mencabarnya, “kata Zainah.

Forum mengenai sama ada kebebasan adalah nilai Islam telah dianjurkan bersama oleh Islamic Renaissance Front, Universiti Nottingham dan G25.

Dr Chandra Muzaffar dari  International Movement for a Just World (JUST) dan Prof Emeritus Clive Kessler dari Universiti New South Wales juga merupakan sebahagian daripada panel. – 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen