SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata terdapat lebih 16 usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibuat di Parlimen.
Namun menurutnya ada juga usul yang dikemukakan untuk menyokong Muhyiddin.
Beliau bagaimanapun berkata usul ini akan dikaji terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam Kertas Perintah Parlimen.
Parlimen akan memulakan mesyuarat belanjawannya pada 2 November ini.
“Kita memang ada terima usul undi percaya terhadap perdana menteri, usul itu datang daripada sebelah kerajaan, tetapi kita akan tunggu usul yang lebih penting daripada pihak kementerian untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat.
“Ada banyak lagi usul penting telah diterima selain meletakkan fokus kepada pembentangan Belanjawan 2021.
“Kami akan mengaturnya sesuai dengan urusan kerajaan,” katanya seperti yang dipetik oleh Utusan Malaysia.
Minggu lalu lima ahli Parlimen daripada parti Dr Mahathir Mohamad, Pejuang mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Berikutan itu 11 ahli Parlimen Amanah juga mengemukakan usul mereka sendiri terhadap Muhyiddin dengan alasan mereka telah hilang kepercayaan terhadap kemampuan perdana menteri untuk memimpin. – 28 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen