Sokong Perikatan kerana akur titah Agong, kata ahli MT Umno


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan pengisytiharan darurat dibuat kerajaan Perikatan Nasional dan menitahkan semua pihak bekerjasama demi kebaikan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

UMNO memilih untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, kata ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Pemimpin itu yang enggan identitinya didedahkan berkata, keputusan untuk mengekalkan status quo itu juga diambil atas kepentingan parti dan rakyat.

Beliau menolak dakwaan bahawa saranan bekas presiden parti Najib Razak supaya bekerjasama dengan ketua pembangkang menimbulkan kemarahan dalam mesyuarat itu.

“Macam ini, kita kekal status quo kerana titah Agong. Kita kena fikir dahulukan parti dan rakyat… Tidak ada isu seperti yang digembar-gemburkan,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Saranan Najib itu timbul dalam mesyuarat terdahulu pada petang Isnin melibatkan ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak mencapai sebarang kata putus.

Pendirian untuk menyokong kerajaan PN dan pada masa sama tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP hanya dicapai dalam mesyuarat MT Umno pada malamnya.

Ia ditegaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya lewat malam bahawa parti itu kekal dengan prinsip untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Sokongan itu bagaimanapun katanya perlu disertakan dengan penambahbaikan prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Ahli Umno tak marah kepada Najib Razak kerana saranannya untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

Keputusan tersebut membolehkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin kekal selepas Umno mengugut untuk menarik sokongan, yang membawa kepada perkembangan mendadak minggu lalu.

Ia berikutan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad yang menolak permohonan kerajaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat bagi menggantung sidang Dewan Rakyat.

Baginda juga menitahkan agar segala politiking dihentikan, memastikan kerajaan stabil dan menjamin Belanjawan 2021 dapat menangani Covid-19.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden Umno Khaled Nordin pula berkata parti itu tidak semestinya menarik sokongan ke atas PN hanya kerana tidak berpuas hati dengan layanan Bersatu.

“Benar (Umno tidak dilayan dengan adil) tapi tak bermaksud kita kena keluar sebagai jalan penyelesaian,” kata Khaled kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata, saranan Najib supaya parti bekerjasama dengan parti Anwar tidak menjadi tumpuan perbincangan dalam mesyuarat itu.

Isu berkenaan juga tidak menimbulkan kemarahan ahli MT dalam mesyuarat berkenaan, katanya.

“Tidak (ada yang marah Najib)... MT Umno bukan pasar,” kata Khaled.

Majlis Tertinggi Umno bukan pasar, kata Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

Najib juga dalam kenyataannya semalam menjelaskan saranan tersebut hanyalah cadangan dalam proses perbincangan mereka di Menara Datuk Onn, semalam.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata Najib juga tidak harus dikenakan tindakan kerana cadangan berkenaan.

“Tiada peruntukan dalam perlembagaan Umno untuk mengambil tindakan hanya kerana cadangan mereka.

“Setakat ini tidak ada yang minta pula (ambil tindakan kepada Najib),” kata Asyraf Wajdi yang menambah tiada ahli MT melepaskan kemarahan mereka kepada Najib disebabkan perkara itu. – 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen