MALAYSIA mencatatkan kes kematian untuk 20 hari berturut-turut dengan dua kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 238.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 835 kes jangkitan baharu turut dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes 28,640.
Dua kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau, Sabah melibatkan mangsa berusia 53 dan 82 tahun.
Daripada jumlah jangkitan baharu hari ini, Sabah sekali lagi merekodkan kes tertinggi iaitu 410.
“Semalam, Sabah melaporkan 927 kes. Ini merupakan penurunan 517 atau 55.8% kes daripada angka yang dilaporkan di negeri ini semalam,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Jumlah keseluruhan kes di Sabah kini 13,155.
Ini diikuti Negeri Sembilan yang merekodkan kes kedua tertinggi dengan 155 kes manakala Lembah Klang melaporkan 138 kes.
Sementara itu Malaysia merekodkan 674 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang didiscaj 18,499.
Manakala jumlah kes aktif adalah 9,903 dengan 89 daripada mereka dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 32 memerlukan alat bantuan pernafasan.– 27 Oktober, 2020.
Komen