WHO alu-alukan China sertai Covax


WHO menyifatkan penglibatan banyak negara termasuk China dalam Covax memperlihatkan perpaduan sebenar seluruh dunia.  – Gambar AFP, 27 Oktober, 2020.

AWAL bulan ini, China mengumumkan akan menyertai “rancangan pelaksanaan vaksin Covid-19” (Covax) yang diterajui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persekutuan Pengimunan Vaksin Global (GAVI).

Jurucakap WHO, Margaret Harris ketika diwawancara China Media Group (CMG) baru-baru ini berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan China, sementara menyifatkan penglibatan banyak negara termasuk China dalam Covax memperlihatkan perpaduan sebenar seluruh dunia. 

Tambah Harris, matlamat Covax adalah untuk menjamin semua negara boleh mendapatkan vaksin secara cepat dan adil. 

Justeru, katanya penyertaan China dalam Covax bermakna majoriti populasi dunia telah mengambil bahagian dalam Covax.

Ulas beliau, vaksin yang selamat, berkesan dan mampu milik dapat dibekal kepada golongan berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut Harris, penularan wabak Covid-19 bukan sahaja melibatkan krisis kesihatan, malah turut meliputi masyarakat dan ekonomi, yang kini menyebabkan kematian melebihi sejuta orang.

Sehubungan itu katanya, vaksin dijangka menjadi kunci untuk mengakhiri pandemik itu.

Kini, hampir 200 jenis vaksin sedang diproses dalam ujian klinikal dengan sejumlah 184 negara dan kawasan menyertai Covax, ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen pelbagai pihak untuk melawan wabak dan mencari jalan keluar. – Bernama, 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen