DAP ragu keikhlasan Umno untuk berdamai


Veteran DAP Lim Kit Siang berkata Umno tidak bersungguh patuh kepada gencatan politik dan bekerjasama tetapi lebih banyak menunjukkan usaha ke arah perpecahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

DAP meragui keikhlasan Umno untuk menjalankan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan gencatan politik dan bekerjasama menangani pandemik Covid-19.

Penasihatnya Lim Kit Siang melihat, Umno masih tidak menunjukkan sebarang usaha bagi kerjasama tersebut tetapi lebih banyak menunjukkan usaha ke arah perpecahan.

“Semua percakapan menggunakan bahasa politik perdamaian dan perpaduan nasional, tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.

“Nampaknya, nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada rakyat Malaysia untuk berhenti berpolitik dan menggugat kestabilan kerajaan… tidak diendahkan,” kata Lim.

“Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata masa selama dua hari sudahpun dibazirkan untuk Umno dan Barisan Nasional untuk bermesyuarat ekoran keputusan baginda menolak perisytiharan darurat.

Ini kerana parti itu terpaksa membincangkan jika Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan ekoran keputusan baginda dan jika kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang, katanya.

Lim mengulas keputusan mesyuarat Umno pada malam tadi yang menyeru kepada perdamaian dan kerjasama untuk menangani pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Umno menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan juga PKR yang dipimpin Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Sewaktu Umno bermesyuarat semalam, DAP turut mengeluarkan kenyataan segera menegaskan ia tidak akan bekerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang sudahpun didapati bersalah atas penyelewengan.

Kenyataan DAP itu berkait dengan seruan Najib semalam kepada Umno untuk menerima kerjasama dengan Anwar.

DAP juga semalam menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Muhyiddin sekiranya bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali digugurkan dari Kabinet bersama seorang lagi menteri Hamzah Zainuddin.

Kedua-duanya dianggap DAP sebagai dalang dalang di sebalik Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan Februari lalu, pilihan raya negeri Sabah dan percaturan untuk mengisytihar darurat.

Perkembangan itu berlaku susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad yang menolak cadangan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen.

Keputusan baginda itu juga atas nasihat Raja-Raja Melayu mengenai peranan Seri Paduka Baginda untuk “mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa”.

Usaha mengisytihar darurat itu dipromosi kerajaan Muhyiddin sebagai usaha memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 namun didakwa pembangkang sebagai satu helah semata-mata.

Ini memandangkan Muhyiddin didakwa tidak menguasai majoriti di Dewan Rakyat, menyebabkannya beliau berusaha untuk menggantung sidang yang sepatutnya bermula 2 November.

Rundingan sebalik tabir melibatkan Anwar dan dipromosi Najib itu bagi menyelesaikan keadaan politik tidak stabil berkenaan. – 27 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen