Kerajaan akui gagal tangani masalah dadah, kata Zahid


Muzliza Mustafa

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengakui usaha kerajaaan membasmi penyalahgunaan dadah gagal, namun beliau menambah bahawa kerajaan akan sentiasa berterusan mencari penyelesaian, selain menyeru masyarakat, NGO dan kerajaan negeri turut memainkan peranan penting. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2017.

KERAJAAN masih gagal tangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini walaupun setelah banyak tahun melawan, akui Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, kerajaan tidak boleh berterusan menyangkal hakikat kebenaran masalah ini.

“Kita harus akui bahawasanya usaha kita gagal tapi tak memberhentikan usaha untuk meningkatkan usaha. Tapi ini bukan bermaksud kami akan berhenti mencuba dan memperbaiki cara membanteras masalah dan memulihkan penagih dadah,” katanya.

Zahid juga berkata, untuk menyelesaikan penyalahgunaan dadah ini bukan tanggungjawab kerajaan sahaja.

“NGO seperti Pemadam dan kerajaan negeri patut main peranan menangani masalah dadah,” katanya.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata, Akta Dadah Berbahaya telah digubal, namun Zahid tidak memberi penjelasan lanjut mengenai usaha itu.

Pun begitu beliau menambah, penjadualan semula jenis dadah yang dilihat membahayakan telah diubah.

“Pindaan kepada akta dadah berbahaya telah dilakukan namun kita lakukan usaha penjadualan terhadap jenis dadah. Jika digazetkan jenis dadah yang berbeza ia akan dikuatkuasakan satu perundangan,” katanya.

Zahid berkata, Malaysia tidak akan menurut langkah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menghalalkan dadah berbahaya untuk kegunaan peribadi.

Itu masalah besar bukan sahaja di Malaysia, tambahnya.

“Kami berpendirian selagi penagihan dadah tidak dihapuskan 100%, selagi itulah masalah sosial melalui penagihan dadah akan berterusan. Maka kerajaan Malaysia tidak akan mematuhi usaha antarabangsa untuk halalkan penggunaan dadah,” katanya.

Awal hari ini, Zahid mengumumkan bantuan geran sebanyak RM10 juta kepada Pemadam, organisasi berkaitan kerajaan yang ditubuhkan bagi membasmi penyalahgunaan dadah di negara ini. Geran itu akan disalurkan secara tahunan melalui Agensi Anti-Dadah Kebangsaan.

Tahun lalu, sebanyak 20,847 kes dadah telah dilaporkan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 26,668 kes. Kenaikan sebanyak 14%. – 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen