PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin harus memecat Hamzah Zainuddin dan Mohamed Azmin Ali dari Jemaah Menteri sekiranya mahu berdamai dengan pembangkang, kata Liew Chin Tong.
Senator dari DAP berkata dua menteri Kabinet itu punca kepada percaturan politik, yang kesannya dirasai oleh rakyat Malaysia sekarang.
“Dengan tiadanya Hamzah dan Azmin dalam Kabinet, kerjasama antara komponen Perikatan Nasional yang memerintah akan lebih baik.
“Kerjasama antara parti dengan pihak pembangkang dalam semangat yang lebih akrab di tengah-tengah krisis Covid-19 akan dapat dijalin,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas timbalan menteri pertahanan berkata Hamzah dan Azmin adalah dalang di sebalik percaturan politik yang menjatuhkan Pakatan Harapan pada Februari lalu, pilihan raya negeri Sabah, dan cadangan untuk pengisytiharan darurat minggu lalu.
Liew menyeru Muhyiddin untuk menerima hakikat bahawa beliau tidak mentadbir dengan majoriti dua pertiga dan Malaysia bukan lagi negara satu parti.
“Muhyiddin mesti komited untuk berhenti menganiaya pihak pembangkang dan menerima bahawa beliau adalah perdana menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, dan bukan sahaja Bersatu; yang menjengkelkan sekutunya Umno, apatah lagi pihak pembangkang,” katanya.
Liew mencadangkan agar Muhyiddin menjadikan Parlimen sebagai ruang untuk bekerjasama dengan lebih baik dengan pembangkang, selepas Yang di-Pertuan Agong semalam tidak memperkenankan pengisytiharan darurat yang dipohon oleh kerajaan.
Katanya, ini bukan masa untuk kerajaan takut kepada Parlimen atau melayan pembangkang seperti musuh negara.
Sebaliknya ini masa untuk kerajaan memberi layanan saksama terhadap ahli Parlimen pembangkang melalui satu perjanjian keyakinan dan pembekalan, tambahnya.

“Kerajaan Muhyiddin berpeluang untuk mengubah krisis ini menjadi suatu kelahiran baharu buat demokrasi berparlimen di Malaysia,” katanya.
Dalam sistem Parlimen Westminster seperti di Malaysia, perjanjian keyakinan dan pembekalan diperlukan oleh sebuah kerajaan yang tidak mempunyai sokongan majoriti untuk memastikan rang undang-undang perbekalan atau usul percaya diluluskan di dewan perundangan.
Mereka yang memeterai perjanjian itu sama ada akan mengundi menyokong atau tidak mengundi bagi memastikan usul bagi pihak kerajaan lulus.
Ia bagaimanapun tidak menyekat mereka daripada membangkitkan hujah yang bertentangan atau membantah dalam hal yang lain selain daripada dua perkara itu.
Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenankan pengisytiharan darurat untuk menangani Covid-19, ketika kerajaan Muhyiddin diragui mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Majoriti tipis dua atau tiga kerusi itu dipercayai runtuh selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober untuk mempersembahkan beliau sudah ada majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” bagi membentuk kerajaan.
Pada hari sama, Biro Politik Umno mencadangkan kepada parti untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin, sekiranya beberapa kerjasama politik mereka tidak dirundingi semula.
Seminggu kemudian Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengisytiharkan “gencatan politik” dan mengumumkan Umno menyokong pentadbiran Muhyiddin.
Perkembangan politik itu melatari sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 November ini dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November. – 26 Oktober, 2020.
Komen