RUMAH Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini dilihat didatangi ramai orang kenamaan susulan Yang Di Pertuan Agong menolak usulnya untuk pengisytiharan darurat.
Bernama TV di platform Twitter berkata beberapa kereta kenamaan dilihat memasuki kediaman peribadi ahli Parlimen Pagoh itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Antara mereka yang dikatakan hadir adalah menteri kabinet kerajaan, spekulasi mengatakan pertemuan itu dipercayai diadakan bagi memutuskan langkah kerajaan Muhyiddin seterusnya selepas keputusan Agong itu hari ini.
Ini adalah kali pertama Agong - dalam sistem raja beperlembagaan Malaysia - menolak nasihat perdana menteri.
Kabinet Muhyiddin pada Jumat lalu bersetuju untuk mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Agong, ia dikatakan sebagai langkah memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 di negara ini yang menyaksikan kes jangkitan melebihi 25,000 dan mencatat lebih dari 200 kematian.
Cadangan tersebut bagaimanapun diputuskan sebelum Parlimen bersidang pada 2 November depan bagi pembentangan Bajet 2021, angka sokongan majoriti yang hanya memiliki 2 majoriti ahli Parlimen menyebabkan ramai pengkritik menuduh Muhyiddin mahu mengelak daripada proses demokrasi Parlimen. Hal ini demikian kerana beliau mungkin kehilangan undi percaya di Dewan Rakyat.
Pertemuan di rumah Muhyiddin malam ini berlaku selepas Pejabat Perdana Menteri membatalkan pertemuan antara PM dan semua menteri besar dan ketua menteri negeri yang pada awalnya dijadualkan akan diadakan esok. – 25 Oktober, 2020.
Komen