Lebih 50% kluster masih aktif, 9 kluster baharu dikesan


Ravin Palanisamy

Sembilan kluster tersebut adalah Kluster Titir, Omadal, Bandaran, Jambul, Bayan, Mentari, Jernih, Seladah dan Makekar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

MALAYSIA menyenaraikan sembilan lagi kluster baharu, empat daripadanya dilaporkan di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata bahawa lebih dari 50% kluster di Malaysia masih aktif.

Malaysia setakat ini melaporkan 225 kluster sejak bermulanya wabak ini, dengan 116 kluster masih aktif.

Sembilan kluster tersebut adalah Kluster Titir, Omadal, Bandaran, Jambul, Bayan, Mentari, Jernih, Seladah dan Makekar.

“Sebanyak 108 kes dilaporkan dalam kluster ini, dengan 53 kes dilaporkan dalam empat kkluster dari Sabah,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini, setelah taklimat akhbar harian Covid-19 dibatalkan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan.

Mengenai pecahan kluster, sebanyak 23 individu telah disaring dalam Kluster Titir, yang turut melibatkan daerah Keningau di Sabah.

Sehingga tengah hari ini, 12 individu dikesan positif. Hasil keputusan perincian lain tidak dinyatakan dalam kenyataan tersebut.

Kluster Omadal melibatkan daerah Semporna di Sabah dan dari 188 individu yang disaring, 21 daripada mereka diuji positif manakala bakinya 167 diuji negatif.

Kluster Bandaran, yang melibatkan daerah Kota Kinabalu turut menyaring 41 individu setakat ini, dengan 12 orang diuji positif dan 29 lagi negatif.

Kluster terakhir di Sabah untuk hari ini adalah Kluster Jambul, yang melibatkan daerah Sandakan.

Di kluster tersebut, lapan individu diuji positif dari 30 orang yang disaring, sementara 20 lagi negatif dan 2 orang masih menunggu keputusan. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen