KETUA kakitangan Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence disahkan positif Covid-19 pada hari Sabtu, kata seorang jurucakapnya.
Laporan itu menjadikannya kes terbaru Covid-19 melibatkan senarai tokoh yang berkaitan dengan Presiden AS Donald Trump.
Marc Short sudah memulakan kuarantin dan membantu dalam proses pengesanan kontak rapat, kata jurucakap Pence, Devin O’Malley dalam satu kenyataan.
“Timbalan Presiden Pence dan isterinya didapati negatif Covid-19 hari ini, dan dalam keadaan sihat,” tambahnya.
Pence, yang berkempen menjelang pilihan raya pada 3 November depan, bertegas mahu meneruskan program dalam jadualnya setelah berunding dengan pegawai kesihatan Rumah Putih, kata jurucakap itu.
Lonjakan kes Covid-19 menyebabkan Amerika Syarikat mencatat jumlah rekod jangkitan harian dengan angka hampir 89,000 kes baharu.
Senarai kontak rapat dengan Rumah Putih yang dijangkiti virus itu, termasuk Presiden Trump, dimasukkan ke hospital sebelum disahkan pulih.
Trump sebelum ini dilihat tidak mengambil berat berhubung bahaya virus tersebut, beliau menyeru agar perniagaan dibuka semula sehingga ekonomi berjaya dipulihkan.
Joe Biden, saingan beliau dari Demokrat dalam pilihan raya akan datang, dilaporkan telah berulang kali mengkritik Trump berhubung sikap beliau ketika menangani krisis kesihatan di negara itu.
Covid-19 kini telah meragut lebih dari 224,000 nyawa warga Amerika. – AFP, 25 Oktober, 2020.
Komen