Akar umbi Umno tidak jelas dengan cadangan kerajaan mahu menggunakan kuasa darurat, apakah untuk menangani pandemik Covid-19 atau untuk mempertahankan pentadbiran Muhyiddin Yassin yang didakwa hilang majoriti.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight akar umbi Umno tiada masalah untuk menyokong sepenuhnya langkah itu jika benar untuk menangani pandemik.
Namun kata mereka tidak wajar jika cadangan darurat itu dibuat semata -mata memastikan Muhyiddin terus mengekal kuasanya.
Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar berkata Muhyiddin tidak patut menggunakan kuasa yang ada untuk menghalang kerajaannya daripada jatuh.
“Masalahnya kita dapat hidu ia mungkin usaha terakhir untuk selamatkan kerajaannya. Atas sebab itu saya rasa ia melanggar prinsip demokrasi.
“Tapi itulah kita tak tahu mana yang betul sebab ada dua pandangan,” katanya.
Selain menangani Covid-19, katanya, pandangan kedua ialah langkah ini kerana kemungkinan Muhyiddin akan sukar untuk mendapatkan sokongan majoriti bagi meluluskan Belanjawan 2021.
“Akhirnya, langkah terakhir ialah mengistiharkan darurat untuk elakkan proses Parlimen,” tambahnya.
Menurut Rizalman, cadangan langkah darurat itu berbangkit kerana Muhyiddin tidak ada pilihan lain untuk memastikan tiada pilihan raya di tengah penularan covid-19, sekiranya Belanjawan tidak lulus dan kerajaan hilang majoriti.
“Saya nampak itulah keadaannya.Tapi apa pun sekarang ini ia menyebabkan rakyat resah. Saya fikir ia turut memberi kesan kepada ekonomi negara, pelabur akan sangat berhati- hati.
“Jadi keadaan ini sangat tidak sihat kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Nizham Abdullah Hamidi berkata akar umbi partinya kini berbelah bahagi antara mahu menyokong darurat untuk menangani Covid-19, atau kekal dengan sentimen politik Umno terhadap Bersatu.
Namun katanya sekiranya perlu, pihaknay akan menyokong langkah darurat, malah menegaskan ia bukan tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
Bagaimanapun beliau juga berharap kerajaan memberi penjelasan segera untuk merungkaikan keresahan dan kekeliruan rakyat.
“Saya setuju darurat kesihatan sebab bukan kita tak pernah buat masa Najib Razak pun pernah buat juga darurat untuk jerebu, jadi patutnya tidak ada isu sangat,” katanya.
Beliau merujuk pengumuman darurat di Pelabuhan Klang dan daerah Kuala Selangor selama tiga hari pada tahun 2005.
Mohd Nizham juga setuju jika darurat satu-satunya jalan yang boleh menghalang pilihan raya diadakan ketika negara berdepan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.
Cadangan langkah darurat ini timbul ketika Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember ini susulan kematian wakil rakyatnya Liew Vui Keong pada 2 Oktober.
Sebelum ini Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Putrajaya mengekalkan jalan demokrasi kerana Malaysia mempunyai mekanisme yang cukup untuk menangani keadaan semasa.
Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat dilapor bersetuju dengan cadangan untuk kerajaan menggunakan kuasa di bawah perintah darurat, yang difahamkan dinasihatkan oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama.
Yang di-Pertuan Agong hari ini merundingkan perkara itu dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Cadangan itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang menganggapnya sebagai langkah politik Muhyiddin untuk mengekalkan kedudukan di Putrajaya.
Langkah ini dibuat ketika Muhyiddin berhadapan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.
Umno membuat ancaman itu beberapa jam selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat. – 25 Oktober, 2020.
Komen