KERAJAAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu menunjukkan komitmen mereka terhadap demokrasi berparlimen walaupun tidak stabil dan menolak darurat, kata 91 ahli akademik daripada universiti awam dan swasta serta penyelidik bebas.
Menurut mereka, langkah itu hanya akan menyebabkan negara terjerumus ke jalan kemunduran, iaitu pemerintahan autoriter dan diktator, serta menggesa agar ahli politik menyelesaikan krisis politik menerusi rundingan.
“Kita semua tentu sedar bahawa pemerintahan darurat memberikan monopoli kuasa kepada Badan Eksekutif tanpa proses semak dan imbang yang perlu oleh Badan Kehakiman dan Badan Perundangan. Keadaan sedemikian hanya akan menjejaskan tadbir urus yang baik dan melemahkan pemerintahan menurut undang-undang dan akauntabiliti.
“Sekiranya kita tidak mengambil berat perkara penggantungan dan pengabaian institusi demokrasi ini, akibatnya nanti akan menjerumuskan negara kita ke jalan kemunduran, iaitu pemerintahan autoriter dan diktator, suatu perkembangan yang biasa berlaku pada abad yang lalu.
“Hal ini hanya akan merosakkan kedudukan antarabangsa, reputasi kewangan, iklim pelaburan, dan kredibiliti pemerintahan negara kita. Inilah harga mahal yang kita semua rakyat dan negara akan terpaksa membayarnya nanti.
“Selesaikan masalah secara jujur dengan berunding, Sekali-kali jangan isytiharkan pemerintahan darurat!” menurut mereka dalam kenyataan itu.
Menurut mereka negara kini tidak berdepan ancaman terhadap keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di Persekutuan atau mana-mana sebahagian daripadanya yang membolehkan pengisytiharan darurat dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun ia merupakan krisis kesihatan utama, pandemik Covid-19 masih boleh dikawal dengan pilihan perubatan dan undang-undang yang ada sebagaimana yang dilaksanakan ketika gelombang kedua, kata mereka.
Krisis politik yang mana kerajaan Perikatan Nasional Muhyiddin bimbang bahawa Rang Undang-undang Belanjawan 2021
mereka akan dikalahkan dalam sidang Parlimen akan datang boleh diselesaikan melalui rundingan, tambah mereka.
“Kami menggesa pemerintah Perikatan Nasional dan semua
ahli Parlimen lain supaya berfikir dengan tenang dan bertindak dengan penuh
tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Sehubungan dengan itu, kami menyeru supaya semua pihak berfikiran waras dan tenang, bersifat hikmah dan menunjukkan prinsip kenegarawanan: Tumpukan
kepada kepentingan rakyat, hentikan politiking, selesaikan masalah secara jujur dengan berunding.” – 25 Oktober, 2020.
Komen