MUHYIDDIN Yassin tidak perlu menggunakan perintah darurat untuk menyelamatkan Malaysia daripada keadaan politik tidak menentu di tengah pandemik Covid-19, kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau sepatutnya menggunakan jalan penyelesaian yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu letak jawatan setelah hilang majoriti di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
“Oleh kerana mengadakan pilihan raya bukan satu pilihan ketika wabak Covid-19 sedang melanda, Tan Sri Muhyiddin mesti meletakkan jawatan.
“Cadangan Proklamasi Darurat atau pembubaran Parlimen adalah langkah tidak bertanggungjawab.
“Cubaan mengisytiharkan Darurat oleh kerajaan yang tidak mendapat sokongan rakyat adalah langkah diktator untuk terus mencengkam kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Shamsul Iskandar, menukar kerajaan semasa wabak Covid-19 bukan sesuatu yang mustahil, malah pernah berlaku.
“Ini ditunjukkan oleh Azmin Ali dengan Langkah Sheraton beliau yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya, merujuk percaturan politik pada Februari lalu yang mengangkat Muhyiddin jadi perdana menteri.
Shamsul Iskandar berkata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sudah mendapat keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu, yang sudah Presiden PKR itu sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober lalu.
“Kini masanya untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengembalikan mandat rakyat dan membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat,” katanya.
Langkah mencadangkan pengisytiharan darurat dibuat ketika Muhyiddin berhadapan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.
Umno membuat ancaman itu beberapa jam selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat dilapor bersetuju dengan cadangan untuk kerajaan menggunakan kuasa di bawah perintah darurat, yang difahamkan dinasihatkan oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama.
Yang di-Pertuan Agong hari ini merundingkan perkara itu dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara. – 25 Oktober, 2020.
Komen