Ekonomi Asia terus merudum


Zainal Rashid Ahmad

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) menghantar isyarat serius mengenai kemeruduman ekonomi dunia. Keadaan buruk ini berikutan munculnya gelombang kedua pandemik Covid-19 pada hujung September lalu.

Laporan IMF pada 21 Oktober lalu menyebut, ekonomi dunia akan menguncup melebihi jangkaan awal yang dinilai pada Jun lalu.

IMF turut menyasarkan penguncupan ekonomi Asia secara keseluruhannya akan melepasi paras minus 2% tahun ini. Angka ini meningkat berbanding unjuran awal 1.6% pada Jun lalu.

Tambahan minus 0.6% antaranya disumbangkan oleh keadaan ekonomi India yang drastik terjejas akibat penularan mendadak Covid-19.

India mencatatkan purata 50 ribu kes jangkitan sehari selama tiga bulan bermula Julai lalu.  Pada akhir September lalu, India mencapai paras 6.5 juta kes dengan 100 ribu kematian. Keadaan menjadi lebih buruk pada Oktober.

Sehingga semalam, India menjadi negara kedua paling tinggi kes jangkitan dengan 7.8 juta kes. Kadar kematian mencecah 120 ribu orang.

Selain Amerika Syarikat (AS) dengan 8.2 juta kes jangkitan dan 230 ribu kematian, India dilihat sebagai negara paling drastik berdepan peningkatan wabak Covid-19.

IMF menurunkan fokus prestasi ekonomi Asia dengan mengaitkan gelombang kedua pandemik ini sebagai turut memburukkan keadaan ekonomi Filipina, Indonesia dan Malaysia. Laporan IMF diedarkan melalui Tinjauan Ekonomi Serantau bagi Asia dan Pasifik.

China yang sasa

Ironinya, China yang menjadi negara pemula pandemik Covid-19 menjadi satu-satunya negara yang dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif dengan pertumbuhan 1.9%. Angka sekali ganda berbanding unjuran 1% pada Jun lalu.

IMF turut meletakkan ekonomi India dalam dalam kritikal dengan jangkaan menguncup minus 10.3%. Pada Jun lalu, IMF menjangkakan ekonomi India akan menguncup pada minus 4.5%.

Angka ini boleh dijangka sebagai realistik memandangkan India menjadi negara paling teruk dilanda Covid-19 pada Julai hingga Oktober. Pada empat bulan terakhir ini angka jangkitan di India melebihi 5 juta kes.

Secara keseluruhan India kini berada di belakang AS (8.5 juta kes) sebagai negara paling tinggi jangkitan dengan 7.6 juta kes.

Ekonomi Filipina dianggarkan menguncup pada minus 8.3% tahun ini, berbanding jangkaan awal IMF pada Jun lalu dengan jangkaan minus 3.8%.

Ekonomi Malaysia dijangka menguncup minus 6% tahun ini berbanding jangkaan Bank Negara pada sekitar minus 3.5% hingga 5.5%.

Ironinya China

IMF menilai pertumbuhan ekonomi China sebagai mapan sangat sasa. Walaupun pandemik Covid-19 bermula di Wuhan pada 17 November 2019.

Walaupun berdepan suasana sukar pada Januari hingga April, ekonomi China kembali pesat pada Mei.

Ekonomi China dijangka tumbuh positif pada 1.9%. Anggaran awal IMF pada Jun lalu sekitar 1%.

Angka ini sejajar dengan laporan pada 18 Oktober yang mengumumkan China kini muncul sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia dengan nilai AS$24.2 trilion.

Angka ini mengatasi kedudukan ekonomi AS yang dinilai pada AS$21.8 trilion.

Sekiranya gelombang kedua Covid-19 berterusan hingga akhir Disember, banyak negara Asia dijangka terus mengalami kemeruduman ekonomi. – 25 Oktober, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dengan angka di Malaysia mencecah 4 angka pada 24/10/2020, sangat menakutkan bagi kami. terima kasih ZRA. dr rakan GTV

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Aiman Hakim · Ulasan