Malaysia catat 1,228 kes Covid-19 baharu dengan 7 kematian


Malaysia menyaksikan peningkatan kes selepas PRN Sabah baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Oktober, 2020.

MALAYSIA hari ini mencatat kes Covid-19 baharu tertinggi dengan angka 1,228 kes dan tujuh kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sabah sekali lagi menjadi negeri yang mencatat kes kes baharu tertinggi - dengan 889 kes hari ini. Ini juga merupakan jumlah kes harian tertinggi di negeri ini.

Enam daripada kematian yang dilaporkan hari ini adalah dari Sabah, sementara bakinya adalah dari Pulau Pinang. 

Rekod tertinggi harian sebelum ini pada 18 Oktober dengan 871 kes. Semalam Malaysia mencatat 710 kes positif Covid-19.

Sejak 17 Oktober, Malaysia secara harian mencatat rekod lebih 800 kes kecuali dua hari dalam tempoh itu. 

Setakat hari ini, Noor Hisham berkata jumlah kes di Malaysia sebanyak 25,742 manakala kes aktif sebanyak 8,966.

“Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 889 kes. Ini adalah jumlah tertinggi dicatat oleh negeri Sabah setakat ini.

“Beliau Terdapat 92 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Noor Hisham.

Hari ini kes sembuh sebanyak 671 menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 16,555.

Negeri Sembilan hari ini melaporkan 96 kes baharu, diikuti Selangor dan Kedah dengan masing-masing mecatat 76 kes baharu. Pulau Pinang mencatat 23 kes sementara Labuan merekodkan 21 kes. Kuala Lumpur pula mencatat lapan kes baharu. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen