PUTRAJAYA akan mengumumkan pelan utama bagi menangani ekonomi, pandemik Covid-19 dan menangani masalah rakyat.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Facebook hari ini menekankan keperluan membuat Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berhubung pandemik Covid-19 hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau menyedari bahawa kegelisahan rakyat dalam menghadapi wabak Covid-19 saat ini masih belum reda, menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin meningkat.
Mengakui bahawa senario mengurus Covid-19 sekarang telah berubah, perdana menteri meminta semua anggota mesyuarat untuk lebih fokus memerangi Covid-19 bagi memastikan mereka dapat mengawal wabak tersebut.
Beliau turut mengingatkan para anggota mesyuarat agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan.
Menurut Muhyiddin, setiap keputusan yang dibuat mesti mengambil kira faedah, risiko dan kesannya terhadap kesihatan dan ekonomi rakyat.
Mesyuarat harian MKN telah diadakan melalui sidang video sejak 7 Oktober lalu. – 24 Oktober, 2020.
Komen