Jangan marah nyamuk, bakar kelambu, kata Rafidah Aziz


Jelas kerajaan ini dah hilang kemampuan untuk merancang, melaksanakan polisi dan langkah-langkah untuk mengatasi impak pandemik Covid-19, kata Rafidah Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional untuk melaksanakan perintah darurat umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar, kata Rafidah Aziz.

Melalui kenyataan dalam Facebook, beliau berkata kerajaan sudah putus idea.

“Jelas kerajaan ini dah hilang kemampuan untuk merancang, melaksanakan polisi dan langkah-langkah untuk mengatasi impak pandemik Covid-19.

“Untuk buat perintah darurat selepas tujuh bulan sangat tak boleh diterima, dan memang kita puji dan berterima kasih dengan Kementerian Kesihatan dan pasukan barisan hadapan sebab mampu mengawal pandemik ini walaupun ada beberapa VIP yang langgar undang-undang selain kacau bilau politik dicetuskan selepas pilihan raya Sabah,” kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui Facebook beliau hari ini.

“Saya tak pernah sangka untuk melihat semua perkara yang terjadi ini di mana politik berada di tahap paling rendah, tambahan dengan ahli politik yang meletakkan diri mereka lagi tinggi dari negara dan rakyat.

“Ini adalah kerajaan yang tak cekap memerintah yang meletakkan politik lebih dari prinsip, etika dan kepetingan negara dengan membuang semua asas demokrasi ke dalam longkang,” kata bekas ketua Wanita Umno itu.

Beliau berkata kerajaan Muhyiddin Yassin menggunakan segala peluang untuk terus kekal berkuasa dengan cuba melaksanakan perintah darurat.

Rafidah berkata, rakyat Malaysia boleh terima lagi PKP, PKPP dan lain-lain tetapi untuk mengumumkan perintah darurat akan memberi impak kepada proses demokrasi dan Parlimen.

“Kita sedang menuju kejatuhan dan akan turut jadi macam negara-negara yang banyak kes.”

Sementara itu, senator DAP Liew Chin Tong berkata Muhyiddin perlu menggunakan cara lain sebelum melaksanakan perintah darurat.

“Sebenarnya ada cara untuk kerajaan berfungsi sewajarnya dalam demokrasi berparlimen.

“Walaupun kamu tidak ada majoriti, tetapi boleh lagi memerintah sebagai kerajaan majoriti dengan “keyakinan dan membekalkan” tawaran kepada parti pembangkang,” kata Liew melalui laman blognya.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Kluang itu berkata kerajaan boleh menandatangani kepercayaan dan meembekalkan perjanjian dengan pembangkang untuk mendapatkan sokongan dalam RUU Bajet sebagai pertukaran kepada beberapa pertimbangan.

“Institusi parlimen sudah wujud beratus tahun di United Kingdom dan di negara lain kerana budaya masyarakat mereka berbeza.

“Perbezaan ini bukannya menimbulkan pergaduhan atau bertumbuk di jalanan, tetapi dibawa ke Parlimen untuk diselesaikan.

“Jika kerajaan ingin meluluskan RUU sedangkan tak cukup majoriti untuk berbuat demikian, ianya boleh diserahkan kepada jawatankuasa Parlimen bipartisan untuk mendapatkan pandangan dari pembangkang.

“Sekiranya kedua-dua pihak setuju, katakanlah pada 70% RUU yang diusulkan, kerajaan ada pilihan. Sama ada untuk meluluskan bahagian yang dipersetujui di Parlimen dan mengetepikan perselisihan, atau mengambil risiko dengan tidak meluluskan keseluruhan RUU itu.” – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen