APA sahaja langkah yang diambil oleh kerajaan perlu mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Meskipun keselamatan dan kesihatan amat penting, namun keperluan rakyat tidak boleh diabaikan, tambah beliau.
“Rakyat makin tersepit. Peniaga makin terhimpit. Kehidupan amat perit bagi ramai.
“Keadaan amat tidak menentu. Tidak stabil. Tidak berada di landasan yang diinginkan.
“Setiap langkah yang dibuat perlu ambil kira kepentingan rakyat,” kata Najib menerusi catatan di Facebook malam tadi.
Najib memuat naik catatannya selepas laporan berita menyebut mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam dilaporkan bersetuju untuk mengisytihar darurat bagi menangani penularan kes Covid-19 dalam negara.
Cadangan bagi mengisytiharkan darurat tersebut ketika Muhyiddin berdepan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.
Selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pagi semalam, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong selama dua jam di Kuantan.
Keputusan sama ada darurat akan dilaksanakan dijangka akan diumum tidak lama lagi, tetapi pembangkang dan orang ramai rata-rata menolak cadangan tersebut.
Najib berkata beliau mengutamakan kepentingan rakyat sepanjang menjadi perdana menteri.
“Saya hanya mampu bersuara guna FB. Saya akan terus berdoa untuk semua.
“Di mana boleh, saya akan terus berikan pandangan. Saya mahu suara rakyat didengari dan dihormati,” katanya. – 24 Oktober, 2020.
Komen