PELAJAR-pelajar yang akan menduduki ujian Sijil Amalan Guaman (CLP) terkilan berikutan peperiksaan mereka ditangguhkan buat kali kedua tahun ini susulan gelombang ketiga Covid-19, yang setakat ini menjangkiti hampir 25,000 orang di Malaysia.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, peperiksaan yang sepatutnya pada Julai dijadual semula pada Disember, dan kini terpaksa ditunda sekali lagi ke Mac tahun depan.
Beberapa pelajar mengadu penangguhan kali kedua ini memberi tekanan dari segi mental dan kewangan, malah bermakna mereka akan lewat menjalani latihan dalam kamar (chambering).
CLP adalah kursus kelayakan selama sembilan bulan untuk graduan undang-undang Malaysia dari universiti UK, Australia dan New Zealand, serta Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara bagi melayakkan mereka menjadi peguam bertauliah.
Peperiksaan CLP dikendalikan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) Malaysia dan dikawal selia oleh Akta Profesyen Undang-Undang 1976.
Pelajar-pelajar berharap LPBQ akan menimbang semula penangguhan dan mencari alternatif lain supaya peperiksaan dapat dijalankan.
Menurut LPQB, peperiksaan tersebut terpaksa ditangguhkan lagi susulan lonjakan kes Covid-19 ketika ini.
Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Jackson memberitahu The Malaysian Insight, dia mengambil cuti tanpa gaji untuk menduduki peperiksaan CLP, dan kini cukup terbeban dari segi kewangan.
Jackson berkata dia mula bercuti sejak Januari untuk bersiap sedia bagi peperiksaan yang awalnya dijadualkan pada Julai.
Meskipun bersetuju peperiksaan di dalam dewan mendatangkan risiko jangkitan Covid-19, namun dia berpendapat ia tidak perlu ditangguhkan.
Katanya, banyak lagi cara lain boleh diambil untuk adakan peperiksaan, antaranya secara dalam talian.
“Apa yang saya tahu, peperiksaan profesional lain seperti ACCA untuk akauntan dan CFA bagi penganalisis kewangan dijalankan dalam talian,” katanya.
“Selain itu banyak universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Cambridge dan University of London (yang ramai calon peperiksaan CLP) juga ambil tindakan sama.”
Katanya lagi, terdapat cara lain untuk pelajar menduduki peperiksaan sekiranya lembaga tetap mahu ia dijalankan secara semuka.
“Misalnya, peperiksaan boleh dijalankan di pusat-pusat berlainan di setiap negeri, atau mengikut zon.”
Seramai 3,000 pelajar dari seluruh negara menduduki peperiksaan CLP setiap tahun.
Seorang lagi pelajar yang enggan namanya didedahkan berkata penangguhan kali kedua peperiksaan itu memberi lebih tekana kepadanya.
“Bagi saya tangguh lagi sekali hanya menambahkan lagi masalah. Saya terpaksa menguruskan keluarga dan pada masa yang sama perlu bayar bil-bil lain, betul-betul beri tekanan dari segi kewangan.
“Saya cukup terkilan. Bagi mereka yang bernasib baik boleh mengambil peperiksaan Bar yang lebih mudah.
“Bagi mereka yang tidak mampu dan tersangkut dengan CLP. Pelajar universiti tempatan tidak perlu duduki peperiksaan Bar atau CLP,” katanya.
Seperti juga Jackson, pelajar berusia 35 tahun itu berkata LPQB perlu menimbang supaya peperiksaan diadakan secara dalam talian.
“Mungkin mereka boleh ambil contoh peperiksaan Bar UK, yang diadakan secara dalam talian dan juga ujian lisan.” – 26 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen