Tiada pengumuman PM malam ini, kata sumber 


Diyana Ibrahim

Tiada pengumuman daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan membuat sebarang pengumuman malam ini, kata sumber, selepas pertemuan dipercayai lebih dua jam bersama Yang di-Pertuan Agong di Kuantan petang tadi.

Pengumuman itu ditunggu-tunggu ketika Jemaah Menteri dilapor bersetuju dengan langkah darurat untuk menangani ketidaktentuan politik dan pandemik Covid-19.

“Tak ada (pengumuman) live malam ini. Macam biasa kalau ada, kita akan maklum kepada media,” kata sumber di Putrajaya.

Muhyiddin sebelum itu dilaporkan dilihat keluar dari Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang pada 7.10 malam, selepas lebih dua jam berada di situ untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Perdana menteri tiba di perkarangan istana pada 4.40 petang, lapor Bernama.

Agensi berita rasmi juga melaporkan Muhyiddin disertai Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang.

Muhyiddin hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya yang dilaporkan membincangkan isu-isu semasa.

Selepas mesyuarat itu, seorang sumber di Putrajaya memberitahu The Malaysian Insight, Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan perintah darurat. 

Langkah ini dibuat ketika Muhyiddin berhadapan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Ancaman dibuat beberapa jam selepas Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Seminggu selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengumumkan Umno akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.

Perkembangan politik melatari sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 November ini, dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 ahli Parlimen pembangkang dilapor mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. – 23 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen