PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Kuantan, petang ini, menurut sumber.
The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin berlepas ke Kuantan dari Kuala Lumpur pada 3.30 petang.
Bernama pula melaporkan sebuah kenderaan yang dipercayai membawa Muhyiddin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang dilihat memasuki Istana Abdulaziz, Kuantan pada jam 4.40 petang.
Beliau dijangka menghadap Agong untuk mencadangkan pelaksanaan darurat ketika negara sedang bergelut dengan ketidaktentuan politik dan pandemik Covid-19, kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Kedua-dua sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham dan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob yang dijadual pada hari ini turut dibatalkan.
“Nampaknya keputusan sudah dicapai,” kata sumber yang maklum berkenaan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya, pagi tadi.
Mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin difahamkan berlangsung lebih kurang tiga jam, berakhir kira-kira 12.40 tengah hari.
“Mereka hanya perlu atur semula perkataan ‘darurat’ supaya orang ramai tidak panik. Mereka tidak akan panggil ‘darurat’ tetapi akan guna istilah lain. Yang ada kaitan dengan Covid-19,” kata sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Kabinet dikatakan mencadangkan supaya Muhyiddin menghadap untuk membentangkan cadangan darurat itu bagi pertimbangan Agong.
Menurut laporan, berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19, Kabinet dikatakan membincangkan kemungkinan Agong mempertimbangkan cadangan menggantung Parlimen dan menguatkasa darurat pentadbiran selama enam bulan sebelum pilihan raya umum.
Pengisytiharan darurat membolehkan kerajaan melakukan perbelanjaan kecemasan tanpa melalui kelulusan Parlimen.
Kerajaan Perikatan Nasional dikatakan percaya Belanjawan 2021 yang sepatutnya dibentangkan November ini tidak akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Bagaimanapun, darurat ini tidak akan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia seperti mana darurat keselamatan.
Darurat yang menggantung Parlimen pernah diisytiharkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, yang meletus susulan pilihan raya umum tahun itu. – 23 Oktober, 2020.
Komen