KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau dalam dilema bilakah Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibubar supaya pilihan raya negeri dapat diadakan.
Ini berikutan kes jangkitan Covid-19 di dalam negara yang melonjak, sedangkan tempoh bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerintah berakhir pada April tahun depan.
“Saya bimbangkan kesihatan rakyat, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh mentadbir dan ambil langkah (tangani pandemik Covid-19) kalau tiada mandat.
“Kita (GPS) tidak gila kuasa,” jelasnya, merujuk kepada gesaan pembangkang untuk menangguhkan pilihan raya kerana bimbang penularan Covid-19 menjadi lebih buruk seperti pilihan raya negeri Sabah bulan lepas.
Abang Johari berkata pilihan raya negeri akan diadakan selepas merujuk pakar kesihatan.
“Saya tidak mahu jadi seperti Sabah. Kita perlu ikut nasihat Kementerian Kesihatan, sama ada perlu pilihan raya atau tidak,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.
Tambah beliau, Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengikut contoh bagaimana New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan Myanmar mengadakan pilihan raya semasa pandemik Covid-19.
Mengenai gesaan pilihan raya diadakan tahun depan, Abang Johari berkata beliau tidak boleh beri jaminan sama ada kes jangkitan Covid-19 akan menurun tahun depan.
“Kita tidak boleh ramal. Pilihan raya perlu diadakan.
“Apa yang penting ialah kerajaan perlu ada mandat bukan hanya untuk tangani Covid-19 tetapi juga untuk mentadbir negara.” – 23 Oktober, 2020.
Komen