PEMANDU e-hailing dan guru memandu akan menerima bantuan kerajaan Sarawak ketika ia meluaskan bantuan kepada enam sektor untuk mengatasi wabak Covid-19 selama tiga bulan lagi.
Semasa mengumumkan pakej bantuan, Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata 2,396 pemandu e-hailing dan 791 guru memandu akan menerima bantuan kewangan RM500 sekali sahaja yang akan menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM1.59 juta.
Beliau berkata, Bantuan Khas Sayang Sarawak 4.0 (BKSS), tidak memasukkan pemandu e-hailing dan guru memandu dalam pakej sebelumnya.
Ketua menteri berkata, lanjutan enam bantuan kewangan dan ekonomi - yang berakhir pada akhir bulan lalu - akan menelan belanja sebanyak RM104.84 juta kepada kerajaan negeri.
“Susulan lonjakan baru-baru ini dalam kes Covid-19 di seluruh negara yang menjejaskan perniagaan dan kehidupan rakyat, kerajaan negeri memutuskan untuk meluaskan (tujuh) langkah yang akan mengurangi kesan pandemik hingga akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya pagi ini.
Lanjutan diskaun adalah:
· Bil elektrik dan air;
· Potongan 50% sewa kediaman Perbadanan Pembangunan Perumahan;
· Diskaun 50% sewa pasar dan gerai;
· Pengecualian permit dan lesen; dan
· Pengecualian sewaan kepada PKS di sektor runcit yang beroperasi di premis milik syarikat berkaitan kerajaan negeri atau badan berkanun.
“Keputusan untuk terus memberikan potongan 5% hingga 25% bagi bil elektrik bulanan 686,847 pengguna domestik, komersil dan perindustrian selama tiga bulan lagi akan menelan belanja kerajaan RM83.4 juta,” kata Abang Johari.
Potongan harga 10% hingga 25% untuk bil air akan menelan belanja kerajaan sebanyak RM12.6 juta.
“Selama enam bulan terakhir, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima maklum balas positif daripada rakyat dan barisan hadapan yang mendapat banyak manfaat daripada bantuan BKSS.
“Saya sangat berharap lanjutan BKSS ini hingga akhir tahun akan memberikan bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat kita yang terjejas teruk oleh wabak ini,” kata Abang Johari.
Dalam enam bulan terakhir, kerajaan Sarawak sudah melancarkan tiga pakej bantuan - BKSS 1.0, 2.0 dan 3.0 - bernilai RM2.55 bilion. – 23 Oktober, 2020.
Komen