Kes aktif Covid-19 boleh cecah 10,000 awal November, lapor media


Kajian data yang dijalankan oleh sekumpulan ahli akademik tempatan mendapati kes aktif Covid-19 boleh melepasi paras 10,000 menjelang 4 November ini, ketika trend penularan di Sabah mula ternampak berulang di Selangor.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

PAKAR kesihatan mencadangkan sidang Dewan Rakyat awal bulan depan dijalankan secara maya ketika kajian data menunjukkan kes aktif Covid-19 boleh mencecah lebih 10,000 dalam tempoh dua minggu ini, lapor New Straits Times.

Kajian data yang dijalankan oleh sekumpulan ahli akademik tempatan mendapati kes aktif Covid-19 boleh melepasi paras 10,000 menjelang 4 November ini, ketika trend penularan di Sabah mula ternampak berulang di Selangor.

Pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr Safiya Amaran dipetik berkata Selangor boleh dianggap titik nol (ground zero) jangkitan ketika ada trend penularan yang bersebaran dengan kes indeks tanpa kontak yang boleh dikaitkan dengan kes lain.

“Ini sama dengan trajektori di Sabah ketika pada suatu masa 90 peratus kes aktif melibatkan penularan dalam komuniti.

“Di Selangor, keadaannya lebih buruk apabila kita mengambil kira kepadatan penduduk, skala aktiviti ekonomi serta pergerakan yang berkenaan,” katanya, seperti dipetik akhbar itu.

Seorang lagi pensyarah berkata kes aktif Covid-19 boleh mencecah maksimum antara 14,000 hingga 15,000 menjelang pertengahan November.

Kumpulan ahli akademik itu membuat unjuran berdasarkan data contoh yang disediakan oleh pakar pemodelan Prof Dr Shuhaimi Mansor dari Universiti Teknologi Malaysia.

Data itu menunjukkan kemungkinan sama ada lengkuk jangkitan mula menurun selepas tempoh dua minggu pematuhan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) atau melandai perlahan-lahan antara Disember 2020 hingga Mac 2021.

Pakar kesihatan mencadangkan sidang Dewan Rakyat awal bulan depan dijalankan secara maya ketika kajian data menunjukkan kes aktif Covid-19 boleh mencecah lebih 10,000 dalam tempoh dua minggu ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

Setakat semalam, kes aktif di seluruh Malaysia ialah 8,183, dengan 90 kes ditempatkan di unit rawatan rapi termasuk 29 kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Safiya juga mengingatkan berdasarkan data jangkitan sedia ada, hampir 35% kluster jangkitan di Selangor berpunca di tempat kerja, dan cara terbaik untuk memutuskan rantaian itu ialah dengan duduk di rumah atau mengekalkan jarak fizikal.

Beliau juga bimbang sidang Dewan Rakyat awal bulan depan boleh jadi pencetus baharu penularan Covid-19.

“Mereka sepatutnya bersidang secara maya atau melaksanakan SOP lain seperti bersidang di bilik lain di Dewan Rakyat secara persidangan video.

“Ahli Parlimen patut mengurangkan anggota rombongan mereka. Mereka sepatutnya memandu sendiri ke Parlimen dan menghadkan pegawai yang hadir.

“Sekiranya menteri atau ahli Parlimen perlu hadir mesyuarat pada masa itu, mereka patut buat secara persidangan video. Mereka perlu terus balik rumah selepas sidang dan tidak singgah di mana-mana,” katanya.

Hari ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang juga menggesa sidang Parlimen yang terakhir bagi tahun ini dijalankan secara maya ketika negara mengharungi gelombang ketiga Covid-19.

Beliau juga menyeru Jemaah Menteri yang mengadakan mesyuarat khas pagi ini untuk memberi kebenaran kepada pihak pengurusan Parlimen untuk membuat persediaan bersidang secara maya.

“Parlimen patut diberikan jaminan yang Kabinet akan meluluskan cadangan belanjawan untuk mengadakan persidangan secara maya,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pagi ini mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri di tengah-tengah spekulasi akan ada rombakan Kabinet serta spekulasi perintah darurat untuk menangani keadaan.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 27 hari bermula 2 November hingga 15 Disember, dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November. – 23 Oktober, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen