PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai masa kira-kira dua minggu untuk mengukuhkan sokongannya menjelang sesi Parlimen berikutnya pada awal November, yang merupakan sidang penting, kata para penganalisis.
Penganalisis berkata walaupun Umno sudah mengumumkan gencatan dan sokongan untuk Perikatan Nasional (PN) ketika ia memerangi pandemik Covid-19, masih menjadi tugas berat bagi Muhyiddin untuk mengekalkan majoriti terutama dengan pembentangan Belanjawan 2021 pada sesi akan datang.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Muhyiddin perlu mengukuhkan majoriti tipisnya kerana walaupun gencatan politik, kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai kawalan ke atas semua ahlinya.
“Sidang Parlimen berikutnya dua minggu akan datang. Ini menjadikan kedudukan PM tidak menentu. Ada dua perkara yang beliau boleh hadapi, pembentangan usul tidak percaya, yang boleh diselamatkan oleh speaker dilantik PN, dan pembentangan Belanjawan 2021.
“Ia hanya memerlukan lima atau enam ahli Parlimen tidak hadir sesi tersebut yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan PN.
“Walaupun Umno menggesa gencatan, parti itu tidak dapat mengawal tindakan semua ahli Parlimen mereka,” kata Awang Azman kepada The Malaysian Insight.
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania, James Chin berkata jika Muhyiddin tidak berjaya memastikan belanjawan diluluskan, ia akan memberi isyarat yang tiada kepercayaan kepada kerajaan PN dan beliau harus segera mengundurkan diri.
“Menurut kebiasaannya, beliau dan Kabinetnya harus segera mengundurkan diri,” kata beliau.
Bagaimanapun, Chin berkata tidak akan mengenepikan Muhyiddin dahulu, kerana perdana menteri masih berunding dengan parti lain, selain Umno, untuk menyatukan sokongan.
“Satu-satunya rancangannya adalah meluluskan belanjawan dan terus berkuasa. Itulah sebabnya beliau berunding dengan Umno. Beliau juga sedang berunding dengan beberapa orang lain. Jangan terkejut jika beliau mempunyai cukup sokongan,” katanya.
Gesaan gencatan politik Umno berlaku ketika ketegangan antara parti itu dan Bersatu, yang semakin meningkat selepas pilihan raya negeri Sabah.
Umno juga mempertimbangkan untuk menyokong atau menolak keputusan Biro Politik parti pada 13 Oktober untuk menilai semula sokongannya terhadap PN.
Selepas mesyuarat Biro Politik minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti sedang mempertimbangkan untuk menarik sokongannya dan akan keluar dengan syarat baharu jika ia memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan Muhyiddin.
Sumber dalam parti memberitahu The Malaysian Insight tuntutan itu termasuk rombakan Kabinet dengan portfolio lebih relevan diberikan kepada pemimpin Umno dan, mungkin, permintaan untuk jawatan timbalan perdana menteri. – 23 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini
Komen