Badan Peguam persoal mengapa Khairuddin tidak diarah kuarantin


Mengapa Khairuddin Aman Razali tidak diarah menjalani kuarantin apabila masuk Malaysia sedangkan ia disyaratkan undang-undang, soal Badan Peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

BADAN Peguam Malaysia mahu Kementerian Kesihatan memberikan penjelasan mengapa Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak diarahkan menjalani kuarantin wajib sehingga boleh bergerak bebas sekembalinya dari Turki.

Presidennya Salim Bashir berkata rakyat berhak tahu sebab mengapa menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu dikecualikan daripada kuarantin.

“Ketika masa tidak menentu disebabkan pandemik, pemimpin sebuah negara patutnya jadi teladan kepada warganya.

“Terutama sekali jika seorang menteri itu sedar yang penyakit seperti Covid-19 boleh mengancam nyawa dan mudah berjangkit, (beliau) ada tanggungjawab moral untuk kuarantin kendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Peguam Negara Idrus Harun berkata tiada ada bukti mencukupi untuk mengenakan sebarang pertuduhan ke atas Khairuddin.

Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati tiada arahan pengawasan atau pemerhatian rumah dikeluarkan kepada menteri itu yang memerlukannya menjalani kuarantin seperti termaktub dalam Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sebelum ini, pemimpin DAP dan Umno turut mempersoalkan mengapa AGC tidak mendakwa Khairuddin.

Kata mereka, nampaknya kerajaan tidak cukup tegas dalam bertindak ke atas mereka yang melanggar undang-undang dan peguam negara perlu menjelaskan kepada rakyat mengenainya.

Salim juga mempersoalkan mengapa Khairuddin tidak diberikan Borang 14B (Arahan Kuarantin) seperti termaktub di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342.

“Di bawah Seksyen 15 (1) akta itu, diperuntukkan yang ‘seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai’.

“Dalam keseriusan pandemik dalam dan luar negara, seseorang individu bukan hanya menjadi orang dalam pengawasan sebaik menerima borang 14B, tetapi (pengawasan) juga berlaku ketika seseorang memasuki Malaysia dari luar negara.”

Salim berkata jika benar Khairuddin dikecualikan daripada arahan kuarantin, pihak berkuasa perlu menunjukkan mengapa pengecualian dibuat, jika tidak ia akan mencetuskan pengulangan situasi yang merbahaya kerana kekaburan penguatkuasaan undang-undang wujud.

“Ini malah sangat penting memandangkan rakyat diperlukan patuh prosedur operasi standard yang ketat serta arahan kuarantin sepanjang pandemik.”

Katanya, Seksyen 269 Kanun Keseksaan sendiri memperuntukkan adalah menjadi kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

“Mungkin peguam negara boleh menggunakan prerogatif perlembagaan untuk mempertimbangkan semula keputusan awalnya berdasarkan peruntukan yang disebut di bawah Kanun Keseksaan.” – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen