Jangan terpedaya ubat kononnya mampu sembuhkan Covid-19, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat mampu merawat individu daripada jangkitan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Oktober, 2020.

ORANG ramai dinasihatkan tidak terpedaya dan membeli ubat-ubatan yang diiklankan di aplikasi jual beli dalam talian yang kononnya berkesan untuk merawat jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan Covid-19.

Katanya sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan Covid-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.

“Setakat ini, masih tiada ubat berkesan untuk rawat penyakit ini dan kalau mereka ada ubat sembuhkan (Covid-19) sudah tentu individu ini telah kaya raya kerana satu dunia mencari ubat ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai iklan ubat-ubatan kononnya mampu menyembuhkan Covid-19 yang dijual di aplikasi jual beli dalam talian.

Semakan Bernama di aplikasi jual beli dalam talian ini mendapati ubat-ubatan dari negara China itu dijual dengan harga RM12. 

Isnin lepas, Dr Noor Hisham berkata penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu. 

Menurutnya, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity trial’ turut membuktikan ubat anti-malaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu. 

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata ubat antivirus dexamethasone, iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit Covid-19. – Bernama, 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen