1 daripada 2 yang disaring di Penjara Kepayan positif Covid-19


Ravin Palanisamy

setakat ini seramai 1,208 invidu telah disaring di Penjara Kepayan, dan 582 daripada mereka didapati positif termasuk 155 kes baharu yang dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

HAMPIR separuh yang menjalani ujian saringan Covid-19 di Penjara Kepayan disahkan positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya setakat ini seramai 1,208 invidu telah disaring di penjara berkenaan, dan 582 daripada mereka didapati positif termasuk 155 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Beliau berkata masih banyak ujian saringan perlu dijalankan di Penjara Kepayan.

“Lebih daripada 1,000 individu di Penjara Kepayan perlu disaring,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Penjara Kepayan dan kuarters anggota pegawai di Kampung Matambai, Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 20 Oktober sehingga 2 November.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di kawasan itu akan membabitkan 3,511 orang merangkumi 2,914 banduan dan 597 kakitangan penjara.

Malaysia hari ini mencatat 847 kes baharu, dengan Sabah sekali lagi melaporkan kes baharu harian tertinggi sebanyak 578 kes.

Sebanyak 26.8% daripada jumlah kes harian dari Sabah hari ini dikesan di Penjara Kepayan.

Sabah sehingga kini merekod 9,859 kes Covid-19.

Dr Noor Hisham juga berkat selain Penjara Kepayan, sebanyak 13 kes dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang, Kluster Tembok di Kedah, serta Penjara Taiping dan Penjara Tapah di Perak. – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen