Gencatan politik Umno-Bersatu tidak lama, kata Chin Huat


Merah Umno dan Bersatu serupa, kedua-duanya merebut kawasan nasionalis Melayu menyebabkan gencatan politik tidak akan bertahan lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

GENCATAN politik tidak akan menyelesaikan persaingan antara Umno dan Bersatu, kata ahli sains politik Prof Wong Chin Huat, kerana dua parti politik Melayu itu bersaing atas kepentingan yang sama.

Katanya, gencatan politik ini, yang diumumkan semalam oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, tidak akan berkekalan.

“Umno dan Bersatu bersaing tetapi bukan jawatan menteri tetapi pada akhirnya dua pesaing yang mencintai kekasih yang sama – kawasan pilihan raya nasionalis Melayu. 

“Bolehkah dua lelaki atau wanita yang cemburu yang mengejar wanita atau lelaki yang sama jadi kawan baik?” tanyanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, Zahid mengumumkan Umno akan terus menyokong kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, di tengah-tengah tanda tanya mengenai sokongan terhadap Presiden Bersatu itu.

Zahid mengumumkan gencatan politik itu seminggu selepas Biro Politik Umno mengancam menarik balik sokongan parti ke atas kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin

“Masalah Muhyiddin belum juga selesai. Malaysia juga belum lagi reda daripada perebutan kuasa yang berterusan,” tambah Wong.

Umno dan Bersatu perlu menyelesaikan terlebih dahulu pengagihan kerusi sebelum pilihan raya umum akan datang, katanya.

Beliau mengingatkan isu utama yang membelenggu hubungan Umno dan Bersatu, iaitu 15 kerusi Parlimen yang asalnya dimenangi oleh Umno tetapi kini milik Bersatu selepas wakil rakyatnya melompat parti.

“Isu pokoknya ialah sama ada 15 kerusi Parlimen yang Bersatu ambil dari Umno dapat dikembalikan kepada Umno, dan tidak ada penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Wong menyebut Umno tentunya sudah belajar daripada pengalaman Pilihan Raya Negeri Sabah pada hujung September lalu, ketika ia bukan saja kehilangan kerusi kepada Bersatu tetapi juga jawatan ketua menteri.

“Kalau Umno diberikan laluan, Bersatu boleh menang kurang daripada 20 kerusi dan akan jadi seperti Semangat 46,” katanya.

Semangat 46 ialah parti serpihan Umno selepas krisis politik parti itu pada 1987, yang diterajui oleh Tengku Razaleigh. Parti itu sempat bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990 tetapi selepas itu mula jadi semakin lemah dan akhirnya bubar.

Semuanya ahlinya kembali menyertai Umno pada 1996, kira-kira setahun selepas Pilihan Raya Umum 1995.

Bersatu ditubuhkan pada September 2016 dengan matlamat asalnya menggantikan Umno.

Parti itu menyertai Pakatan Harapan dan menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Muhyiddin bagaimanapun membawa Bersatu keluar dari PH pada hujung Februari, lalu mencetuskan kemelut politik tujuh hari selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu letak jawatan kerajaan dan parti.

Selepas PH runtuh, Muhyiddin mengetuai kerajaan PN yang mempunyai majoriti tipis lebih satu atau dua kerusi di Dewan Rakyat dengan dukungan Umno dan Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan beberapa parti di Sabah serta wakil rakyat bebas.

Pada 13 Oktober, Biro Politik Umno mencadangkan parti menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, beberapa jam selepas Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Semalam, PKR mengambil maklum keputusan Umno untuk terus menyokong kerajaan Muhyiddin namun akan terus berusaha mengembalikan mandat rakyat yang dirampas. – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen