KERAJAAN Negeri Perak akan menyalurkan dana kepada rakyat Sabah yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap penduduk di sana.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pejabat Kewangan Negeri namun jumlah bantuan yang akan disumbangkan masih belum ditetapkan.
“Mereka sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana jumlah rakyat Sabah yang didapati positif Covid-19 meningkat, jadi saya fikir inilah masanya untuk kita tolong-menolong.
Berkaitan jumlah bantuan, saya akan umumkan dalam masa terdekat dan kita akan salurkan ke dalam Tabung Bencana Covid-19 Negeri Sabah,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak 2020 di Galasa Caldwell di Ipoh, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Abdul Yunus Jamahri, sedang melalui kuarantin kendiri bermula semalam selepas terdedah dengan kontak rapat pesakit Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau itu telah menjalani saringan Covid-19, namun masih menunggu keputusan ujian. – Bernama, 22 Oktober, 2020.
Komen