INDIA melonggarkan sejumlah sekatan visa dan perjalanan yang dikenakan sebelum ini ekoran pandemik Covid-19, dalam usaha untuk merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pergerakan masyarakat.
Langkah itu akan memberi manfaat termasuk kepada warga asing keturunan India yang mempunyai dokumen sah dibenarkan melawat dan tinggal di India.
Kementerian Dalam Negeri berkata “telah diputuskan untuk membenarkan semua pemegang kad kerakyatan luar negara India (OCI) dan penduduk asal India (PIO) dan warga asing lain mengunjungi India, kecuali pemegang visa pelancong perlu melalui lapangan terbang dan pos pemeriksaan imigresen pelabuhan yang dibenarkan.”
Memandangkan India terus melonggarkan sekatan terhadap kegiatan pengangkutan dan aktiviti awam, kementerian berkata kerajaan turut memutuskan “membuka semula semua perkhidmatan visa yang ada”, tidak termasuk kategori tertentu seperti visa pelancong dan perubatan.
Keputusan itu membolehkan warga asing datang ke India untuk urusan perniagaan, persidangan, pekerjaan dan pengajian, kata kementerian itu.
India setakat ini melaporkan 7.7 juta jangkitan Covid-19 dan korban seramai 116,616 orang, menurut data rasmi terkini pada Khamis.
Jumlah kes baharu untuk tempoh 24 jam lalu sebanyak 55,839 sementara 702 kematian dicatatkan. – Bernama, 22 Oktober, 2020.
Komen