JUMLAH kes jangkitan baharu Covid-19 kembali kepada tanda aras 800 hari ini selepas menurun semalam, apabila 847 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Data terbaru itu menjadikan jumlah kes terkumpul Covid-19 Malaysia naik kepada 23,804, dengan Sabah sekali lagi melaporkan kes baharu harian tertinggi sebanyak 578 kes.
Jumlah kes baharu juga terus meningkat di negeri lain dengan Selangor melaporkan 137 kes dan Kuala Lumpur (23), kedua-dua negeri itu sudah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Di Negeri Sembilan, 33 pelajar tahfiz di sebuah sekolah di Senawang juga disahkan positif Covid-19.
Lima orang lagi terbunuh kerana Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah korban wabak negara kepada 204 orang.
Empat kematian hari ini berlaku di Sabah, dan satu lagi mangsa di Kedah. Kesemua korban adalah warga emas berusia lebih 60 tahun.
Kes kematian di Kedah melibatkan seorang wanita berusia 67 tahun dengan sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan dyslipidemia.
Daripada empat korban di Sabah, hanya seorang, lelaki berusia 78 tahun, mempunyai sejarah penyakit angin ahmar. Tiga lagi tiada sejarah perubatan.
Sementara itu, jumlah kes aktif setakat hari ini adalah 8,183, dengan 90 daripadanya kini dirawat dalam ICU, 29 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sabah sudah melaporkan 9,859 kes sejak wabak mula meledak dan jumlah kes terkumpul di Selangor pula adalah 4,102. – 22 Oktober, 2020.

Komen