PUTRAJAYA patut lebih jelas dalam arahan kepada rakyat Malaysia sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Beliau mendesak kerajaan supaya tidak memberikan arahan dan peraturan bertembung yang bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat Malaysia tetapi juga pelabur asing.
“Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut.
“Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau turut mengulas keributan arahan kerja dari rumah yang dicetuskan Putrajaya minggu ini.
“Arahan bekerja dari rumah baru baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa. Bagaimana keributan ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru?
“Perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua,” kata Anwar lagi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menuntut kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman yang berakhir bulan lepas sekurang-kurangnya tiga bulan lagi kerana rakyat masih dalam situasi sukar.
“Saya mengulangi gesaan saya agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman.
“Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut ini, yang dijangka akan berpanjangan,” kata Anwar.
Anwar juga berkata kerajaan Perikatan Nasional cenderung menjaga syarikat korporat besar berbanding perusahaan kecil dan sederhana.
“Adalah tidak mengejutkan tatkala kerajaan terus senyap terkait golongan berpendapatan rendah, kerana yang lebih diutamakan adalah syarikat-syarikat mega yang dekat dengan pundak kuasa.”
Tambahnya, Putrajaya patut melancarkan lebih banyak inisiatif untuk menyelamatkan perniagaan kecil dan pekerja ketika pandemik Covid-19 masih berlaku.
“Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil, dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP,” kata presiden PKR itu lagi. – 22 Oktober, 2020.
Komen