PERAIH undi dari luar Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang wajar dianggap sebagai sukarelawan dan bukannya pekerja, kata Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit.
Abun berkata demikian selepas kenyataan dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah bahawa pekerja pilihan raya dari luar perlu mendapatkan permit kerja sah untuk “bekerja” dengan pelbagai parti politik pada PRN akan datang.
Uggah merujuk kepada undang-undang hak istimewa negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menghendaki orang luar Sarawak mempunyai permit jika mahu bekerja di negeri itu.
Abun yang juga pengerusi Cabang PKR Hulu Rajah turut mempersoalkan mengapa wujud keperluan kepada permit itu sekarang, sedangkan selama 57 tahun tiada permit diperlukan untuk pekerja atau sukarela parti pada pilihan raya sebelum ini.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight yang peraturan baharu itu adalah cerminan Gabungan Parti Sarawak (GPS) takut hilang kuasa.
Kata peguam itu lagi, beliau mahu menguji peraturan “tidak boleh dilaksanakan” itu.
Beliau akan menasihati sukarelawan PKR yang mahu membantu meraih undi pada PRN Sarawak akan datang untuk terus mengatur perjalanan mereka.
Walaupun begitu, katanya, mereka masih perlu patuh kepada semua SOP Covid-19 dan kesihatan yang ditetapkan Sarawak.
Ahad lepas, Uggah berkata, pekerja pilihan raya “datang untuk bekerja” dan kerana itu individu dari Sabah atau Semenanjung Malaysia perlu patuh kepada undang-undang permit kerja.
Malam tadi, seorang lagi Timbalan Ketua Menteri James Masing memberi amaran yang negeri itu akan “menguatkuasakan peraturan ketat” bagi mengekang “orang luar” masuk ke negeri itu pada pilihan raya bagi menghalang penularan wabak Covid-19.
Katanya lagi, Sarawak perlu mengelak mengulangi “bencana PRN Sabah” yang menjadi punca melonjaknya kes Covid-19 di sana.
Politikus dan pekerja pilihan raya dari Semenanjung yang membantu kempen PRN Sabah juga dilaporkan menyebabkan berlaku kes jangkitan Covid-19 di tempat asal mereka selepas pulang dari Negeri Bawah Bayu itu. – 22 Oktober, 2020.
Komen