IRF akan jalin kerjasama dengan Tariq Ramadan 


Muzliza Mustafa

Pengasas IRF Dr Ahmad Farouk Musa berkata pemikir Islam itu akan meneruskan kerjasama dengan Dr Tariq Ramadan sehingga dakwaan rogol ke atasnya dibuktikan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2017.

PEMIKIR Islam Islamic Renaissance Front (IRF) akan meneruskan kerjasama dengan sarjana Islam Dr Tariq Ramadan dan kekal berkecuali dengan tuduhan rogol terhadap profesor Oxford itu dan membiarkan undang-undang menentukannya, kata pengasas IRF Dr Ahmad Farouk Musa. 

“Kita perlu beranggapan beliau tidak bersalah. Untuk mengambil pandangan aternatif akan menjejaskan prinsip kami,” kata Dr Ahmad Farouk selepas pelancaran buku Tariq edisi Bahasa Melayu “Apa Yang Aku Yakini” di Kuala Lumpur hari ini. 

Terjemahan buku berkenaan dibuat oleh ketua sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah dan projek berkenaan bermula dua tahun lalu. 

Tariq dan IRF bekerjasama rapat, dengan sarjana berkenaan merasmikan IRF pada 2009. Ahli akademik itu pernah berucap di Malaysia tiga kali yang mana kali terakhirnya adalah pada 2013.

Pada Oktober, Tariq yang merupakan felo penyelidik kanan Kolej St Anthony, dituduh merogol oleh penulis warga Perancis yang berkata dia diserang oleh Tariq di bilik sebuah hotel di Paris pada 2012. Dia menuduhnya merogol, serangan ganas dan ugutan dalam laporannya kepada polis. 

Sarjana warga Switzerland itu menafikan tuduhan berkenaan dan mengambil cuti yang dipersetujui bersama dengan Universiti Oxford, di mana dia adalah profesor pengajian Islam kontemporari.

Oxford mengatakan bahawa cuti ketiadaan Tariq tidak menyatakan sebarang anggapan atau penerimaan kesalahan.

Dr Ahmad Farouk mengakui terkejut apabila mendengar dakwaan itu dan merasakan ia bukan watak Tariq. Katanya IRF akan terus berurusan dengan sarjana itu secara profesional. 

Sejak tuduhan itu, akhbar Perancis dan Switzerland melaporkan lebih banyak dakwaan rogol dan serangan terhadap Tariq oleh wanita lain, ada diantaranya mendakwa serangan itu berlaku pada 1980an dan 1990an ketika mereka bergelar pelajar dan ketika beliau mengajar di Switzerland. – 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen