Sabah perlu sedia hadapi PKP, Lembah Klang mungkin sambung PKPB


Ravin Palanisamy

Seorang pekerja membersihkan jalan utama di Segama, Kota Kinabalu yang lengang susulan PKPB dikuatkuasakan di negeri itu hingga 27 Oktober bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

SABAH perlu bersiap sedia untuk perintah berkurung sepenuhnya sementara tidak mengejutkan jika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dilanjutkan lagi, kata pakar kesihatan.

Ketika jumlah kes Covid-19 semakin meningkat setiap hari di kawasan ini, pakar epidemiologi dan kesihatan awam Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata trend sekarang menunjukkan jangkitan dalam kalangan masyarakat.

Mungkin masa berminggu-minggu lagi diperlukan untuk jumlah kes itu menurun, katanya.

Sabah pada masa ini mencatatkan satu pertiga daripada jumlah kes di seluruh negara, yang mencecah 22,000 kes, dan satu pertiga daripada kematian, yang dilaporkan 199 setakat semalam.

Gelombang ketiga pandemik itu yang bermula bulan lalu menyaksikan 10,000 kes baharu dalam tempoh 18 hari pertama pada Oktober – angka yang sama dengan tujuh bulan pertama ketika pandemik itu bermula.

“Masa empat hingga enam minggu diperlukan untuk penurunan berterusan kes baharu di Selangor.

“Masa lebih lama (enam hingga lapan minggu) diperlukan untuk menjadikan keadaan di Sabah terkawal, mengandaikan kita menggerakkan semua sumber yang ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Keadaan di Sabah lebih kritikal kerana negeri itu melaporkan banyak kes tidak saling berkait, menunjukkan jangkitan dalam masyarakat sangat luas di sana, kata Awang.

Cara utama untuk menghentikan kes baharu di Sabah ialah dengan menyekat jangkitan dalam masyarakat.

Oleh itu, perintah berkurung sepenuhnya perlu dilakukan.

“Ruang waktu untuk berjaya mengawalnya semakin kecil dan kita perlu melakukannya sekarang.

“Pilihan lebih ketat yang ada untuk Sabah pada masa ini ialah perintah kawalan pergerakan (PKP). Melihat kepada jumlah kes, pilihan itu nampaknya semakin jelas untuk dilaksanakan,” katanya.

Polis dan anggota tentera berkawal di sekatan jalan raya yang diadakan sepanjang PKPB dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

Bagi Selangor, negeri paling kaya di negara ini, ia mempunyai lebih banyak sumber.

“Namun, PKPB mungkin dilanjutkan jika tidak ada kesan dalam menurunkan kes baharu dan jumlah pesakit pulih mengatasi kes baharu.”

Selama dua minggu, Sabah merekodkan jumlah kes harian paling tinggi. Semalam, sekali lagi ia mengatasi negeri lain dengan merekodkan 535 daripada 732 kes baharu.

Sabah pada masa ini mencatatkan 9,281 kes sejak pandemik.

Sementara itu, Selangor mencatatkan 3,965 kes sejak pandemik bermula dan melaporkan peningkatan kes jangkitan harian.

PKPB di Sabah dikuatkuasakan dari 13 Oktober hingga  26 Oktober, sementara di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 Oktober hingga 27 Oktober. Labuan juga dikenakan PKPB dari 17 hingga 30 Oktber.

Pakar epidemiologi da biostatistik Dr Malina Osman juga bersetuju dengan kemungkinan PKPB di Selangor dilanjutkan.

Beliau berkata data kes aktif bagi beberapa minggu lalu di Selangor menunjukkan peningkatan dan trend yang membimbangkan.

“Daripada segi kes aktif direkodkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lalu, kami memantau trend peningkatan.

“Lanjutan PKPB tidak dapat dielakkan. Kita mungkin perlukan sekurang-kurangnya lima hingga enam minggu,” katanya. – 22 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen