PEKERJA pejabat dari zon merah tidak wajib, tetapi disarankan, menjalani ujian swab Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, kerajaan hanya menggalakkan pekerja tersebut menjalani ujian itu dan seperti yang disebut semalam, ia tidak diwajibkan.
Semalam, beliau berkata pekerja yang perlu ke pejabat di zon merah di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dihendaki menjalani ujian swab.
“Bagi pekerja yang berada di zon merah, kita tahu kalau mereka bekerja di zon merah risikonya tinggi, ataupun jika mereka yang tinggal di zon merah bekerja di zon kuning, risikonya tinggi kepada pekerja di zon kuning.
“Jadi kita telah bersetuju walaupun tidak diwajibkan untuk mereka membuat swab test tapi kita amat menyarankan untuk melakukan ujian tersebut,” katanya hari ini, pada sidang media.
Bagaimanapun, ujian swab Covid-19 diwajibkan untuk pekerja asing sektor pembinaan dan pengawal keselamatan dalam zon merah, tambahnya.
Jelasnya lagi, pekerja yang tidak bergejala juga dihendaki menjalani ujian swab mandatori.
Tambahnya lagi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) akan menampung kos ujian swab untuk pencarumnya.
Semalam, kerajaan mengeluarkan arahan kerja dari rumah kepada hampir sejuta pekerja pelbagai industri dan sektor awam di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuatkuasa esok.
Arahan juga meliputi pekerja yang perlu hadir di pejabat perlu menjalani ujian swab Covid-19, mencetuskan persoalan tentang kebolehlaksanaanya sedangkan arahan berkuatkuasa esok.
Arahan itu bertujuan menghadkan pergerakan dan kontak antara pekerja bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
PKPB di Sabah akan berakhir pada 26 Oktober, untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ia dijadual tamat pada 27 Oktober dan Labuan pada 30 Oktober. – 21 Oktober, 2020.
Komen